Nostalgia abang posmen dan kad raya

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Menjelang 1 Syawal, kedatangan ‘abang posmen’ pasti dinanti-nantikan bersama kiriman kad raya daripada saudara mara atau sahabat handai yang jauh di mata namun dekat di hati, sebagai tanda ingatan tulus ikhlas.

Keterujaan menanti kad raya juga bagaikan satu perlumbaan sesama jiran tetangga apabila masing-masing menantikan siapakah di antara mereka yang menerima kiriman kad paling banyak.

Namun, keghairahan itu hanya tinggal kenangan apabila kini ucapan ‘Selamat Hari Raya’ dan ‘Maaf Zahir Batin’ sekadar diungkapkan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir individu yang berusaha untuk menghidupkan kembali nostalgia kiriman kad raya.

Bagi Ana Asiah Karim, 51, tradisi yang mampu mengeratkan hubungan sesama insan melalui perutusan kad raya tidak wajar dilupakan walaupun kemajuan teknologi kini telah mengambil alih tugasnya.

“Percayalah, ucapan melalui telefon dan pesanan ringkas sebenarnya tidak dapat menzahirkan keikhlasan dan kemesraan sesama insan seperti mana yang dapat dialami ketika mengutus kad raya,” katanya.

Segala-galanya bermula sejak tiga tahun lepas apabila Ana Asiah sudah tidak lagi bekerja, dan menemui satu kumpulan hobi di laman sosial Facebook yang diberi nama Koleksi Kad dan Sampul Perayaan.

“Masing-masing dalam kumpulan itu berkongsi minat yang sama iaitu mengumpul kad dan sampul duit raya dan ia mendorong saya untuk kembali rancak mengumpul kad raya yang telah ditinggalkan hampir 20 tahun lepas,” katanya.

Ana Asiah berkata, beliau akan mula mencari kad raya seawal 1 Ramadan untuk dihantar kepada rakan-rakan sehobi selain jabatan-jabatan kerajaan.

“Ini merupakan tahun pertama saya cuba menghantar kad raya ke jabatan-jabatan kerajaan seperti pejabat perdana menteri, timbalan perdana menteri dan istana di seluruh negara serta Brunei.

“Sehingga kini, saya telah terima balasan kad daripada Sultan Johor serta Raja Perlis dan amat mengujakan apabila mengetahui kerabat diraja turut berkenan mengutus kad raya kepada rakyat jelata, dan uniknya ia disertakan tandatangan sultan berserta potret keluarga,” katanya dalam nada teruja.

Baru-baru ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda bertitah bahawa baginda percaya mengutus kad raya secara tradisional dapat mengeratkan silaturahim.

Sementara itu, bagi Azizan Ismail, 45, hobi mengumpul kad raya tidak hanya tertumpu ketika menjelang Syawal, tetapi beliau turut mengumpul kad perayaan Deepavali dan Tahun Baharu Cina.

“Bagi saya, budaya mengirim kad raya tidak patut dilenyapkan khususnya dalam kalangan generasi muda kerana dapat dlihat kewujudan teknologi kini sedikit sebanyak telah mendorong mereka untuk bersifat saling tidak ambil peduli dengan orang sekeliling.

“Dalam usaha untuk mengembalikan suasana berkomunikasi secara sihat, saya rasa sepatutnya semua pihak khususnya media perlu mainkan peranan untuk merancakkan semula amalan mengutus kad raya dalam kalangan generasi muda,”, tegasnya.

Sehingga kini, koleksi kad raya yang bertulis dan tidak bertulis dimiliki Azizan sudah hampir mencecah 500 keping.

Pelbagai jenis, bentuk dan saiz kad ada dalam simpanannya seperti kad raya bermuzik yang kini dijual dengan harga RM3.50 sehingga RM5 sekeping.

“Saya pernah menghantar kad raya kepada Yayasan Kepimpinan Perdana dan menerima tandatangan Presiden Kehormatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad suatu masa dahulu, dan itu antara kepuasan yang dimiliki melalui hobi mengumpul kad raya ini,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia