PNS bincang empat GLC bangunkan model perniagaan francais

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Nasional Bhd (PNS) sedang membangunkan model perniagaan francais syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengubah pekerja sebagai usahawan kepada majikan.

Ketua Pegawai Operasi PNS, Azlina Juliani Abd Jalil berkata, PNS sedang berbincang dengan empat GLC untuk firma berkenaan menjadi perintis model francais baharu itu dan dijangka memeterai usaha sama berkenaan pada November ini semperna ulang tahun PNS ke-50.

“Modul perniagaan ini akan melibatkan peralihan daripada tenaga kerja mahir kepada usahawan francais yang berpayungkan majikan sebagai francaisor.

“Kami melihat inisiatif ini sebagai menang-menang kepada majikan dan pekerja serta relevan bagi kelangsungan dan kelestarian GLC yang berdepan cabaran semasa seperti perbelanjaan modal dan operasi yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Selain pekerja, vendor di bawah GLC akan dapat memanfaatkan model yang sedang dibangunkan ini.

Sebagai contoh, katanya, syarikat e-dagang Amazon menawarkan program Rakan Kongsi Perkhidmatan Penghantaran kepada pekerja yang berhenti sukarela bagi membolehkan mereka membuka syarikat sendiri dan menyediakan perkhidmatan penghantaran bagi pihak Amazon.

Beliau berkata, menerusi perniagaan kecil baharu itu lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan di negara ini.

Model tersebut juga akan dikembangkan kepada sektor swasta yang berminat di masa hadapan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Azlina Juliani berkata PNS turut dalam usaha memodenkan model francais sedia ada.

“Kami akan melaksanakan penjenamaan semula secara agresif selaras dengan usia PNS yang bakal menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya tahun ini.

“Model yang mungkin selama ini kurang sistematik dan berstruktur akan ditambah baik kepada sistem perniagaan yang lebih mantap selari dengan keperluan negara untuk menjadi pasaran francais yang kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.

PNS turut berusaha ke arah pemantapan francaisor tempatan untuk melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata terdapat 877 syarikat francais aktif di negara ini melibatkan bidang makanan dan minuman, pakaian dan aksesori, perkhidmatan dan penyenggaraan, pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak, rawatan kecantikan dan kesihatan serta kedai serbaneka dan pasar raya.

Setakat ini, 66 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran 65 negara, katanya.

“Pertumbuhan ekonomi yang perlahan tidak menjejaskan pasaran francais semasa dan dilihat menunjukkan perkembangan positif, dengan industri ini dijangka menyumbang sebanyak RM35 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020,” katanya.

Pada tahun lepas, industri francais menyumbang RM30.3 bilion kepada KDNK, meningkat 8.5 peratus daripada RM27.7 billion pada 2017. - Bernama