DAPSY perlu sedar kehendak, masalah rakyat masih sama

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) perlu sedar kehendak dan permasalahan rakyat masih sama biarpun kerajaan sudah bertukar, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau akui BN-UMNO ditolak semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun semua itu tidak membutakan pembangkang untuk memahami realiti semasa demografi Malaysia.

"Barangkali wakil dari DAPSY itu sendiri, dek berdarah muda, enggan untuk mengakui realiti masyarakat kita kekal sekalipun pasca PRU14.

"DAPSY perlu sedar, hanya kerana kerajaan bertukar, itu tidak sesekali bermakna segala legasi sosial dan kesenjangan yang wujud selama ini telah lenyap dengan sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi itu berkata sedemikian sebagai mengulas tuduhan DAPSY terhadapnya bahawa beliau gagal memahami aspirasi dan naratif kesamarataan serta pendirian mengenai matrikulasi.

Mohamed Khaled berkata, DAP mendakwa sebagai orang politik yang jujur dan mahu membela nasib orang susah tanpa mengikut kaum, agama dan wilayah.

Katanya, namun perkara itu boleh dilihat dan dibandingkan mengikut fakta dan statistik mengenai soal jumlah Bumiputera melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Bandingkan pula fakta dan statistik ini dengan bangsa lain. Terutama penyertaan dan akses Bumiputera kepada jurusan kritikal dan kemampuan untuk membiayai pengajian sedemikian. Lihat dan bandingkan. Saya yakin mereka ada fakta ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam konteks sebegini, kesamarataan mutlak dan merit yang diperjuangkan DAPSY akan hanya terus meminggirkan mereka yang telah tertinggal, manakala mereka yang sudah di hadapan, akan terus di hadapan," katanya.

Beliau berkata, DAPSY harus jujur dan terbuka untuk menerima hakikat bahawa intervensi seperti matrikulasi dilakukan dengan cermat tanpa mengenepikan peluang kaum lain.

Katanya, sayap DAP itu juga dituntut memberikan bukti benar dan konkrit bahawa program matrikulasi di bawah kerajaan BN hanya memberi manfaat kepada anak-anak kroni, elit, kaya serta mempunyai 'kabel'.

"Jika benar isu matrikulasi ini tidak dilihat daripada kaca mata perkauman, DAPSY harus menunjukkan bahawa calon-calon yang diterima masuk ke matrikulasi selama ini adalah mereka yang tidak layak (dari segi pencapaian asas akademik dan kedudukan sosial keluarga), tetapi diterima masuk hanya kerana mereka Bumiputera.

"Saya setuju agar pelajar STPM dan matrikulasi diberikan persediaan mendepani cabaran Revolusi Industri Ke-4, cuma saya amat tidak bersetuju apabila DAPSY berpandangan yang 'ekonomi global tidak peduli tentang warna kulit, kepercayaan, adat resam kita'. Anggapan yang demikian adalah amat tidak matang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, apa yang cuba didesak oleh DAPSY tidak ubah seperti satu jalan belakang untuk merendahkan Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang pengiktirafan kepada Bumiputera.

"Nasihat saya kepada DAP, jangan terlalu benak dan keliru dengan pembawaan sendiri sehingga terlupa untuk bersikap objektif.

"Politik tolak ansur yang diamalkan BN dahulu bukanlah sebuah 'zero-sum game'. Ia adalah satu amalan toleransi yang mengutamakan realiti negara Malaysia tanpa penafian hak-hak kritikal mana-mana bangsa," katanya.