Dataran Pemuda Merdeka meriah!

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (tengah) ketika melawat sekitar kawasan lampu hiasan pada Majlis Perasmian Projek Pencahayaan Dataran Pemuda Merdeka hari ini. Foto: Bernama
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (tengah) ketika melawat sekitar kawasan lampu hiasan pada Majlis Perasmian Projek Pencahayaan Dataran Pemuda Merdeka hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Dataran Pemuda Merdeka di sini kini diterangi dengan pencahayaan bertemakan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM330,000 itu merupakan salah satu persediaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menerima taraf sebagai bandaraya selain menyediakan lokasi beriadah yang diharapkan dapat mencapai taraf antarabangsa.

Hiasan lampu berbentuk ketupat itu adalah hasil sumbangan daripada Guan Eng sebanyak RM270,000 manakala MPSP telah mengeluarkan dana sebanyak RM60,000 untuk keberlangsungan projek tersebut.

"Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di Pulau Pinang yang merupakan salah satu usaha untuk menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dengan dewan (di Dataran Pemuda Merdeka) yang telah direnovasi, ia memberikan satu pemandangan yang lebih baik.

Apabila semua lampu dinyalakan, padang ini terang... Bagus untuk seluruh masyarakat beriadah di waktu malam disamping memudahkan pihak-pihak tertentu untuk mengadakan majlis di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pencahayaan Dataran Pemuda Merdeka dan Majlis Berbuka Puasa bersama 'Wira Orange' yang merupakan sekumpulan pekerja am MPSP di sini malam tadi.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, projek itu salah satu langkah terbaik yang dijalankan oleh pihak MPSP setelah berjaya mendapatkan status bandaraya yang diluluskan oleh kabinet pada Mei lalu.

MPSP perlu memikirkan inisiatif utuk menambahbaik serta menambah lokasi riadah dan keperluan asas masyarakat.

"Di samping itu, kita perlu menyediakan taman-taman riadah, taman yang dipenuhi cahaya pada waktu malam, serta trek berbasikal yang perlu diperluaskan lagi selain keperluan asas seperti dewan-dewan (serbaguna) untuk kegunaan masyarakat menjalankan aktiviti mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa menerusi hasil perbincangan bersama pihak Kastam dan Penang Port Sdn Bhd akan memastikan tiada plastik dan bahan-bahan yang tidak boleh dikitar semula masuk ke negeri ini khususnya menerusi pintu pelabuhan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSP Datuk Rozali Mohamud yang turut menghadiri majlis pelancaran berkata hiasan cahaya yang digantung daripada tiang lampu adalah mengikut musim perayaan yang disambut oleh masyarakat untuk meraikan kepelbagaian kaum di negeri ini.

Rozali berkata, beliau akan cuba menjadikan kawasan Seberang Perai seperti bandar Dubai yang dipenuhi hiasan-hiasan dan lampu yang cantik untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Pulau Pinang.

Katanya, kemasukan pelancong akan memberikan impak bukan sahaja kepada dunia perhotelan tetapi juga kepada golongan B40 yang menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar kawasan itu. - Bernama