Awas, musim lembu kena curi!

Md Rashid kehilangan 20 ekor lembu sejak dari tahun 2007 lagi.
Md Rashid kehilangan 20 ekor lembu sejak dari tahun 2007 lagi.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pengusaha ternakan diminta meningkatkan pantauan dan kawalan memandangkan kecurian membabitkan haiwan ternakan sering dilaporkan berlaku ketika musim perayaan.

Penternak lembu dan kerbau, Md Rashid Hanapi berkata, kes kecurian haiwan ternakan terutama lembu sudah menjadi kebiasaan ketika musim perayaan dan menganggapnya sebagai asam garam kehidupan.

Menurutnya, bagi mengatasi perkara itu, pihaknya sentiasa mempertingkatkan pantauan terutama ketika ternakan berada di luar kandang.

"Memang ada berlaku sekali-sekala, musim perayaan pun ada, tapi dah jadi 'biasa', kalau hilang sekali dua ekor pun dah rugi modal banyak tu.

"Kalau nak dikira-kira, ada dalam 20 ekor dah hilang sejak saya mula bela lembu tahun 2007," katanya.

Menurutnya, meskipun mendatangkan kerugian, namun kes kehilangan ternakan dianggap sebagai salah satu cabaran bagi penternak sepertinya.

"Selalunya pencuri akan sasar bila lembu dilepas untuk ragut rumput, kalau tak dipantau atau tingkatkan pengawasan, boleh jadi hilang," katanya.

Dalam pada itu, kandang miliknya yang terletak di Kampung Batu 2, Jalan Kuala Ketil-Sungai Petani juga merupakan pusat penyembelihan diiktiraf Jabatan Veterinar di mana beliau sendiri telah mengikuti kursus dan mempunyai sijil penyembelihan diiktiraf Majlis Agama Islam Kedah.

Artikel Berkaitan:

Md Rashid berusaha meningkatkan pantauan bagi mengelak lembu-lembunya dicuri.
Md Rashid berusaha meningkatkan pantauan bagi mengelak lembu-lembunya dicuri.

"Perkara paling mustahak ketika proses menyembelih ialah ketelitian untuk sembelih agar mematuhi hukum-hakam yang patut kita ikut sebagai orang Islam," katanya.

Menurut Md Rashid, proses penyembelihan ternakan haruslah mematuhi hukum dan syarat sah sembelihan bagi memastikan haiwan yang disembelih halal dimakan.

"Sebagai penternak dan pengusaha, saya sendiri akan pastikan haiwan yang disembelih mematuhi rukun dan syarat sah sembelihan," katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga disaran memilih bekalan daging tempatan yang diyakini sempurna proses sembelihan berbanding daging import bagi mengelakkan keraguan, sekaligus membantu penternak tempatan.

"Kita di Malaysia masih bergantung kepada bekalan daging import kerana tak ramai pengusaha ceburi bidang penternakan untuk hasilkan lebih banyak bekalan daging mentah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan boleh mewujudkan ladang ternakan di Malaysia bagi mengurangkan kebergantungan import haiwan ternakan terutama sepanjang musim perayaan.

Sempena musim perayaan kali ini, Md Rashid tidak ketinggalan untuk memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan daging mentah dengan harga RM33 sekilogram yang akan dibuka di hadapan Masjid Al-Muhsinin Kampung Raja, Sungai Petani pada 3 dan 4 Jun 2019 bermula 7.30 pagi hingga 3 petang.

Jualan membabitkan 8,000 kilogram bekalan daging itu bertujuan memberi peluang anak kariah dan orang ramai mendapatkan bekalan dengan harga lebih rendah dari harga pasaran.