Kempen hindar guna plastik berkuatkuasa 1 Julai

HEE LOY SIAN
HEE LOY SIAN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bakal melaksanakan kempen hindar penggunaan plastik sekali guna di semua jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini berkuatkuasa 1 Julai depan.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, cadangan pelaksanaan kempen itu diluluskan Rabu lalu

Menurutnya, ia sejajar dengan ‘Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-use Plastics’ 2018-2030 yang diluluskan Jemaah Menteri sebelum ini.

“Pelaksanaan kempen ini merangkumi bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SUK), serta agensi termasuk pejabat tanah dan daerah, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan dan anak-anak syarikat di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

“Ia bertujuan menangani masalah alam sekitar khususnya berpunca dari pencemaran disebabkan penggunaan barangan plastik sekali guna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kempen itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna khususnya beg plastik dan polistirena.

Katanya, semua jabatan dan agensi bawah pentadbiran kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah bagi menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Ia termasuk gantikan botol minuman plastik (sekali guna) dengan botol kaca atau sediakan bekas air; gantikan pembalut plastik di piring, pinggan dan mangkuk dengan penutup makanan boleh diguna semula dan tidak sediakan pinggan dan cawan bersifat sekali guna.

Artikel Berkaitan:

“Kempen itu termasuk melarang penggunaan penyedut plastik dan menyediakan ‘water dispenser’ untuk kemudahan isian semula,” katanya.

Beliau berkata, semua pegawai bertugas dan orang awam yang berurusan di bangunan jabatan kerajaan negeri Selangor digalakkan membawa bekas makanan untuk kegunaan peribadi;

Katanya, penggunaan beg woven atau beg khas yang boleh diguna semula digalakkan semasa membeli makanan dan minuman di kafeteria.

“Kerajaan negeri akan mengatur strategi dan usaha seperti menguar-uarkan amalan-amalan tersebut melalui semua platform komunikasi terutamanya media sosial, menyediakan bahan-bahan promosi berbentuk infografik, video dan sebagainya bagi menjayakan kempen ini.

“Kerajaan juga galakkan sektor swasta, sekolah, rumah ibadat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam kempen ini dengan usaha sendiri untuk capai tujuan pengurangan penggunaan plastik sekali guna suatu hari nanti,” katanya.