Ribuan warga Indonesia pulang beraya ke kampung

Sebahagian warga Indonesia mula membanjiri Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga Habour City, Pelabuhan Klang untuk pulang ke kampung masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Sebahagian warga Indonesia mula membanjiri Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga Habour City, Pelabuhan Klang untuk pulang ke kampung masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Bahang kemeriahan Aidilfitri kian terasa apabila ribuan warga Indonesia mula membanjiri Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga Harbour City di sini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Golongan perantau itu sanggup bersesak menunggu giliran untuk masuk ke balai pelepasan sebelum menaiki feri ke Tanjung Balai Asahan, Sumatera dan Dumai, Indonesia.

Salah seorang penumpang, Miranda Minan, 30, berkata, dia membeli tiket menaiki feri Sabtu lalu untuk pulang ke kampung di Medan, Indonesia.

"Ini kali pertama saya dan anak-anak balik kampung naik feri. Sebelum ini kami naik kapal terbang namun disebabkan harga tiket kapal terbang agak mahal, jadi saya ambil keputusan untuk guna perkhidmatan feri kali ini.

Miranda ceria ketika menunggu giliran untuk masuk ke balai pelepasan.
Miranda ceria ketika menunggu giliran untuk masuk ke balai pelepasan.

"Harga tiket dewasa hanya RM130 dan RM90 bagi kanak-kanak untuk perjalanan segala. Lagipun saya dan anak-anak mahu rasai sendiri pengalaman kali pertama menaiki feri," katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Duit Raya dan Bubur Lambuk oleh Asa Niaga, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif ASA Group, Azrin Shaari.

Menurut suri rumah itu, dia sudah menetap di Malaysia sejak 15 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Suami saya orang Perak dan setiap tahun kami bergilir untuk pulang berhari raya namun raya kali ini hanya saya dan anak-anak sahaja pulang ke Medan kerana suami terpaksa bertugas," katanya.

Seorang lagi penumpang, Didi Suwito, 31, yang bekerja di Terengganu pula berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk pulang berhari raya setiap tahun.

"Setiap tahun saya pasti pulang untuk berjumpa keluarga kerana ini sahaja masa yang ada untuk meluangkan masa bersama-sama. Pada tahun ini saya bercuti selama sebulan untuk beraya bersama keluarga.

"Kali ini saya bawa Milo dan susu Anlene sebagai ole-ole untuk orang tua dan saudara mara di kampung. Rasanya lebih enak berbanding di sana. Saya juga ada belikan telekung untuk nenek," katanya.

Sementara itu, Azrin berkata, kira-kira 30,000 tiket habis dijual sebelum Ramadan dan ia dijangka meningkat sehingga Isnin ini.

"Saya difahamkan ada penumpang yang telah berkumpul sejak 3 pagi semalam untuk menunggu walaupun feri pertama berlepas jam 9 pagi.

"Namun tahun ini, kebanyakan penumpang pulang dua minggu awal disebabkan cuti sekolah dan suasana di terminal tidak terlalu sesak dan padat," katanya.

Katanya, pada cuti Aidilfitri kali ini, pihaknya menyediakan tiga feri bagi enam perjalanan ke Tanjung Balai Asahan dan Dumai.

"Perjalanan memakan masa kira-kira empat jam 30 minit dan kita menyediakan jaket keselamatan dan tangki oksigen demi keselamatan setiap penumpang," katanya.