Bolehkah Melayu sahut meritokrasi

A
A
A

SEBAGAI seorang Melayu yang telah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya, saya ingin menjawab bahawa tiada masalah dari sudut Melayu menjawab cabaran meritokrasi di Malaysia atau di mana-mana jua dalam dunia ini.

Tetapi malangnya, saya terpaksa menjawab persoalan tersebut di atas dengan mengatakan dalam keadaan sekarang di Malaysia bahawa orang Melayu masih tidak berupaya menyahut cabaran meritokrasi dalam apa perkara sekalipun terutamanya dalam kemasukan ke universiti dan ke dalam profesion.

Saya menyajikan tiga sebab kenapa saya berpendapat demikian.

Sebab pertama ialah tentang pendidikan Islam yang sempit dan tidak progresif. Pendidikan Islam diberikan oleh agamawan yang bergaji tetap dan berpendidikan dari pusat pengajian yang tidak mempunyai masyarakat majmuk yang besar.

Oleh itu, pendidikan sempit ini lebih membina minda yang memusuhi bukan sahaja kesemua orang bukan Islam tetapi juga umat-umat Islam lain seperti kaum Syiah, Ahmadiya dan bermacam lagi.

Pendidikan ini menyebabkan umat Melayu Islam terasa dirinya hebat dalam segala aspek moral dan spiritual sehingga tiada perlu bagi ia mempelajari dan berkongsi pengalaman daripada sesiapapun.

Sikap begini akan menjadikan umat Melayu berfikiran jumud dan sempit sehingga bila-bila. Saya sendiri pernah menyelia pelajar Syiah dari Iran untuk kursus PhD dalam senibina. Mereka berdua suami isteri amat baik.

Saya pernah membentang kertas seminar di Qashan, Iran dan mendapati masyarakat di sana lebih sopan dari kaum Saudi di tempat kelahiran Rasulullah. Sekarang saya mempunyai hubungan akademik dengan orang Iran dan boleh saja saya mengembangkan sayap akademik saya ke sana.

Artikel Berkaitan:

Saya juga mempunyai hubungan rapat dengan kaum Cina di Malaysia dan syarahan saya banyak diterima masyarakat itu sehinggakan dijemput menjadi kolumnis tetap di Sin Chiew Daily.

Beberapa temubual saya diterbitkan oleh China Press dan South China Post. Saya juga kini seorang kolumnis tetap Borneo Post yang berpusat di Sabah. Jaringan saya dengan orang bukan Islam amat besar.

Tetapi golongan agamawan Melayu menganggap ke-Islaman saya tercabar dengan hubungan sedemikian. Inilah pandangan yang membuat sukar bagi bukan Melayu mengambil Melayu bekerja dengan mereka. Siapa yang nak ambil orang yang terlalu cerewet dan membenci semua bukan Islam?

Sebab kedua ialah pemimpin Melayu selalu mendengarkan lagu ‘Melayu dan Islam sering tertindas’.

Pemimpin Melayu yang tiada modal ini kerap kali menghasut orang kampung Melayu dan orang universiti Melayu untuk mempertahankan hak-hak istimewa Melayu.

Sebenarnya hak-hak istimewa Melayu hanya untuk sementara waktu sahaja untuk memberi bantuan sekadar boleh berdiri sama tinggi. Tetapi ramai pemimpin Melayu mencanangkan yang Melayu masih ditindas dari aspek ekonomi.

Siapa yang rompak khazanah negara dengan skandal 1MDB, mereka tidak sebut. Siapa yang rasuah dalam JPJ Pulau Pinang pun tidak juga disebut Melayu yang ramai ditangkap. Tetapi golongan pemimpin politik ini menjulang sepanduk Melayu tertindas dan sebenarnya ia ditindas Melayu sendiri.

Hak MelayuBagaimana seseorang pelajar Melayu dapat meyakinkan diri apabila naratif Melayu tertindas ini sering dicanangkan? Bayangkan satu laporan yang mengatakan bahawa tahun ini sahaja, belum cukup separuh tahun, hampir 200,000 umat Melayu menunaikan umrah sunat.

Setiap orang Melayu akan berbelanja RM10,000-RM12,000 untuk umrah dua minggu. Jika suami isteri menunaikan umrah maka sudah RM20,000 dibelanjakan.

Wang itu cukup untuk menyara seorang pelajar ijazah di Unisel atau Tunku Abdul Rahman University College. Tetapi golongan Melayu T20 ini masih menadah tangan untuk meminta anak ke matrikulasi atau ke UiTM sebagai hak Melayu semata-mata.

Apakah alasan Melayu masih tiada kuasa ekonomi untuk berdikari? Sukar untuk Melayu bermeritokrasi dalam keadaan minda disempitkan begini.

Sebab ketiga ialah infrastruktur dan budaya membaca yang amat kurang pada orang Melayu. Sewaktu saya di Edinburgh, Scotland dahulu, saya tinggal dalam flat untuk penghuni berpendapatan rendah.

Flatnya bagus dan setiap hari selama empat hari seminggu, sebuah treler yang berisi buku serta bilik bacaan diletakkan di tempat parkir di sebelah sekolah rendah.

Rupanya setiap perumahan kos rendah ini mempunyai perkhidmatan perpustakaan bergerak.

Saya sudah tinggal di banyak estet perumahan di Malaysia dan tidak pernah pun terlihat treler perpustakaan bergerak begitu dedikasi sekali. Negara kita sanggup berbelanja beratus-ratus juta ringgit untuk membina masjid indah dengan menara dua empat atau enam batang serta kubah yang gemilang cantiknya. Tetapi untuk anak-anak ang dahagakan pembacaan buku, kita jadi miskin pula.

Bagaikan pepatah populis Melayu ‘biar papa asal bergaya’. Meritokrasi untuk Melayu masih jauh bagaikan jarak dari tanah ke langit.

* Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur