GBS@Ipoh sedia lebih 1,500 peluang pekerjaan

Ahmad Faizal (tiga dari kiri) ketika sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran MoU antara NCIA, Kerajaan, Perak dan Syarikat-syarikat GBS di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Ahmad Faizal (tiga dari kiri) ketika sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran MoU antara NCIA, Kerajaan, Perak dan Syarikat-syarikat GBS di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) memilih untuk melebarkan operasi di Ipoh sekali gus menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif GBS@Ipoh dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Perak.

Katanya, Bandaraya Ipoh sememangnya diiktiraf sebagai destinasi GBS dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Lima syarikat ini akan memulakan operasi di Bandaraya Ipoh pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

"GBS@Ipoh ini dijangka akan menarik pelaburan berjumlah RM486 juta dan paling penting akan mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara NCIA, Kerajaan Perak dan Syarikat-syarikat GBS, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman; Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John serta wakil-wakil syarikat terlibat.

Ahmad Faizal berkata, kehadiran lima syarikat yang akan berpusat di Falim itu sekali gus bakal menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di Ipoh.

Katanya, paling penting GBS@Ipoh akan mengurangkan aliran keluar modal insan dan menarik minat rakyat Perak kembali berkhidmat di negeri sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Usahasama ini juga dijangka akan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk graduan tempatan dan Perak amnya.

"Ia sekali gus membantu menyelesaikan isu pengangguran di Perak yang mana statistik menunjukkan 22.7 peratus daripada sejumlah 20,341 graduan di Perak masih menganggur," katanya.

Sementara itu, Jebasingam Issace berkata, GBS memilih Perak sebagai lokasi mengembangkan perniagaan kerana potensi yang ada di negeri ini khususnya di Bandaraya Ipoh.

Katanya, sebelum ini GBS sudah pun bertapak di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, namun Perak berada dalam landasan terbaik untuk berkembang dengan kemudahan serta kos operasi yang masih rendah.