Kanak-kanak 18 bulan cedera tercampak

Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas tercampak di atas jalan dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori kontena tanpa muatan di Jalan Parang (arah dari Pelabuhan Utara ke Pelabuhan Barat), pagi tadi. -Foto: Facebook
A
A

KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas tercampak di atas jalan dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori kontena tanpa muatan di Jalan Parang (arah dari Pelabuhan Utara ke Pelabuhan Barat), di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Dhuha Muhammad Suffean, 18 bulan, cedera di kepala selepas motosikal Yamaha LC135 ditunggang bersama bapa, Muhammad Suffean Hashim Shamlan, 24, dan ibunya, Wan Emilia Eliyshah Wan Mohd Zulkarnain, 24, dilanggar dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa bersama ibu bapanya dalam perjalanan dari Bandar Sultan Suleiman menghala ke Pelabuhan Barat.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu lori kontena, Tsen Vui Leong, 41, bertukar lorong ke sebelah kiri untuk menghala ke Pelabuhan Barat telah terlanggar belakang motosikal dinaiki tiga beranak terbabit.

“Akibatnya, penunggang bersama isteri dan anaknya tercampak di atas jalan manakala motosikalnya terseret sejauh kira-kira 50 meter dan melekat pada penghadang jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

“Penunggang yang cedera di kaki, tangan dan lutut dirawat sebagai pesakit luar manakala anak dan isterinya masih ditahan di wad untuk pemerhatian lanjut.

“Pemandu kontena terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.