Kanak-kanak nyaris maut dihempap tayar lori tercabut

Mangsa yang sedang mengayuh basikal cedera terkena tayar treler. Dua biji tayar treler yang tercabut dalam kejadian tersebut.
Mangsa yang sedang mengayuh basikal cedera terkena tayar treler. Dua biji tayar treler yang tercabut dalam kejadian tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas terkena tayar treler yang tercabut di Kilometer 3 Jalan Triang-Temerloh dekat Kampung Buntut Pulau di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.24 pagi itu, mangsa yang berusia 12 tahun sedang mengayuh basikal.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, hasil siasatan mendapati dua biji tayar treler jenis Nissan yang membawa muatan sawit yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Triang telah tercabut.

Keadaan SUV yang turut remuk akibat tayar treler tersebut.
Keadaan SUV yang turut remuk akibat tayar treler tersebut.

Menurutnya, tayar itu telah merempuh bahagian sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Triang.

"Sebiji lagi tayar terkena seorang kanak-kanak lelaki yang sedang mengayuh basikal menyebabkan kecederaan di bahagian kepala, patah bahu kiri dan patah kaki kiri," kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Mohd Azhar menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Cawangan Trafik IPD Temerloh di talian 09-2716086," tambah beliau.