Kerajaan perlu tiga tahun kurangkan hutang

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Kerajaan memerlukan tempoh tiga tahun bagi mengurangkan hutang negara kepada paras siling 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding paras semasa 80 peratus," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Perdana Menteri, biarpun berdepan pelbagai cabaran, kerajaan telah dapat mengurangkan hutang melebihi RM1 trilion itu ke tahap semasa.

"Kita menggalas tugas berat dan sukar hanya kerana (tindak-tanduk) kerajaan sebelum ini yang meninggalkan banyak legasi kurang menarik...sebagai contoh, mereka meminjam terlalu banyak wang dan melangkaui had siling yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kita perlu melunaskan hutang ini dan mengurangkannya sehingga ke paras wajar agar ia tidak menelan semua hasil yang kita raih dalam proses mentadbir negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada satu mesyuarat di Kelab Koresponden Asing Jepun di Tokyo.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun.

Selain itu, Dr Mahathir berkata Malaysia kini berada di landasan tepat bagi memulihkan negara berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan per kapita.

Atas perkembangan itu, kata beliau, Malaysia kini menyaksikan kehadiran lebih ramai pelabur asing yang berminat untuk melabur di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Ada segelintir pelabur asing yang bertindak menarik diri daripada pasaran saham dan ini tidak mengapa.

"Dalam apa keadaan pun, banyak negara yang mengalami masalah disebabkan perang perdagangan Amerika Syarikat-China. Ya, kita pun terjejas namun tidaklah seburuk mana yang dialami negara-negara lain," kata beliau.

Perdana Menteri turut berkongsi harapan Malaysia untuk melihat lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini.

"Oleh itu, sebarang bentuk laporan negatif mengenai Malaysia bukanlah sesuatu yang dapat membantu negara ini pulih.

"Kita perlukan laporan tepat, bukannya laporan yang terlalu memihak Malaysia sebaliknya laporan sahih mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Malaysia," katanya. -Bernama