436 anggota JPJ bertugas menjelang raya

Razali (tengah ) bersama anggota lain pada sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri di Bilik Mesyuarat Tanjung Puteri JPJ Johor di sini hari ini.
Razali (tengah ) bersama anggota lain pada sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri di Bilik Mesyuarat Tanjung Puteri JPJ Johor di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 436 daripada 524 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor akan ditugaskan sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Pengarahnya, Razali Wagiman berkata, operasi penguatkuasaan yang bermula semalam hingga 15 Jun depan itu melibatkan anggota daripada setiap cawangan, stesen penguat kuasa dan stesen kawalan sempadan.

Menurutnya, menerusi pelaksanaan ops kali ini, JPJ Johor turut mensasarkan penurunan kadar kemalangan di lebuh raya dengan meningkatkan siri rondaan dan penguatkuasaan.

“Sasaran ops kali ini adalah kita mahu cuba turunkan kemalangan di lebuh raya sehingga 20 peratus.

“Ia juga termasuk mengurangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal sebanyak 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri di Bilik Mesyuarat Tanjung Puteri JPJ Johor di sini hari ini.

Razali berkata, antara usaha lain pihaknya juga akan meningkatkan pemantauan ke atas pengusaha bas ekspres dan persiaran untuk tidak menurunkan atau mengambil penumpang di kawasan tidak dibenarkan bagi mengelakkan kemalangan atau kesesakan.

“Pemantauan dan rondaan akan dilakukan dari semasa ke semasa. Kita memandang serius mengenai hal ini kerana ia melibatkan isu keselamatan pengguna jalan raya mahupun penumpang bas itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya didapati ada pihak melakukan kesalahan ini ia boleh didakwa mengikut seksyen 22 (b)(iv)(A) Akta Pengangkutan Awam Darat,” katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan itu, pengusaha boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, operasi khas pengangkutan awam pada 13 hingga 21 Mei lalu turut menahan dua buah bas ekspres yang didapati mengambil penumpang di lokasi tidak dibenarkan serta tiada pemandu kedua.