Mana keadilan untuk Adib?

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias
A
A
A

JELEBU - Penarikan diri peguam Syazlin Mansor di saat-saat akhir menimbulkan tanda tanya kerana inkues bakal berapa beberapa hari saja lagi.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, mengapa baharu sekarang Peguam Negara, Tommy Thomas mempersoalkan kredibiliti peguam Syazlin yang mewakili tiga pihak sedangkan prosiding telah berjalan lebih 30 hari.

"Saya khuatir perkara ini sengaja dibuat bagi melengah-lengahkan keputusan inkues kes Muhamad Adib.

"Peristiwa yang berlaku merupakan satu tragedi hitam dan mereka yang bertanggungjawab mencetuskan rusuhan perlu diheret ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, PH terus mempraktikkan Kedaulatan Undang-Undang yang sebelum ini dijaja, maka apa jua bentuk sistem perundangan termasuklah inkues untuk mengetahui punca kematian Adib perlu berjalan dengan telus.

"Keadilan untuk Adib harus dituntut dan saya mengecam sebarang campur tangan yang berlaku dalam prosiding yang berbaki beberapa hari sahaja lagi," katanya.

Terdahulu, Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Bagaimanapun, penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu, akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.