Salah guna masjid: Lagi jawatankuasa masjid kena gantung

Salah satu gegantung memaparkan program berbuka puasa anjuran wakil rakyat PH bukan Islam di sebuah masjid di Parlimen Teluk Intan pada 17 Mei lalu. Gambar kecil, Datuk Mohd Yusop Husin.
Salah satu gegantung memaparkan program berbuka puasa anjuran wakil rakyat PH bukan Islam di sebuah masjid di Parlimen Teluk Intan pada 17 Mei lalu. Gambar kecil, Datuk Mohd Yusop Husin.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) menggantung jawatan seorang penolong setiausaha sebuah masjid di Hilir Perak sementara menjalankan siasatan dakwaan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming menyalahgunakan masjid untuk tujuan politik.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya menerima laporan pada 17 Mei lalu, Kor Ming telah mengadakan program berbuka puasa, menyampaikan sumbangan dan berucap di kawasan Masjid Asaadah Kampung Bahagia, Hilir Perak.

Menurutnya, JAIPk turut dilaporkan terdapat sepanduk berkaitan acara berkenaan dengan gambar wakil rakyat PH itu dan perkataan 'HARAPAN' direntang dalam kawasan masjid.

"Penemuan awal mengesahkan program ini berlangsung tanpa persetujuan dan kebenaran jawatankuasa Masjid Asaadah.

"Kami difahamkan program itu masih diteruskan oleh Penolong Setiausaha Masjid meskipun tidak dipersetujui pengerusi dan majoriti ahli jawatankuasa masjid.

"Kesannya, pengerusi dan majoriti ahli jawatankuasa masjid itu bertindak memulau dan tidak menghadiri acara sebagai tanda bantahan," katanya kepada media di sini hari ini.

Mohd Yusop berkata, tindakan menggantung sementara jawatan penolong setiausaha Masjid Asaadah sementara siasatan dijalankan adalah bagi menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak agar masjid tidak dijadikan gelanggang bagi mendapatkan laba politik.

"Tindakan itu juga selaras dengan Peraturan 10(2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak(2015)," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Salah guna masjid: JAIPk, Exco Agama jangan pilih bulu

Semalam, Sinar Harian melaporkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Misbahul Munir Masduki menggesa JAIPk dan Exco Agama Negeri, Asmuni Awi tidak bersikap pilih bulu dalam melaksanakan perintah larangan menggunakan masjid dan surau di Perak bagi tujuan politik sebagaimana titah Sultan Perak.

Sebaliknya JAIPk dan kerajaan negeri juga wajib mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli politik parti kerajaan didapati turut menggunakan premis masjid atau surau di Perak bagi tujuan politik.

Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan terdapat wakil rakyat bukan Islam turut menggunakan platform masjid untuk program politik, meskipun difahamkan tidak mendapat kebenaran jawatankuasa pentadbiran masjid.

Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar masjid dan surau di negeri ini tidak disalahgunakan pihak tertentu untuk tujuan politik dengan mengadakan program serta menggantung sepanduk tertera logo politik.

Tuanku Sultan Nazrin semalam turut memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau didakwa membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatannya, sementara siasatan dilakukan.