Salah guna masjid: JAIPk, Exco Agama jangan pilih bulu

Salah satu gegantung memaparkan program berbuka puasa anjuran wakil rakyat PH bukan Islam di sebuah masjid di Parlimen Teluk Intan pada 17 Mei lalu dirakam Pas Perak. Gambar kecil, Misbahul Munir.
Salah satu gegantung memaparkan program berbuka puasa anjuran wakil rakyat PH bukan Islam di sebuah masjid di Parlimen Teluk Intan pada 17 Mei lalu dirakam Pas Perak. Gambar kecil, Misbahul Munir.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Exco Agama Negeri, Asmuni Awi diminta tidak bersikap pilih bulu dalam melaksanakan perintah larangan menggunakan masjid dan surau di Perak bagi tujuan politik sebagaimana titah Sultan Perak.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, sebaliknya JAIPk dan kerajaan Perak juga wajib mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli politik parti kerajaan yang didapati turut menggunakan premis masjid atau surau di Perak bagi tujuan politik.

Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan terdapat wakil rakyat bukan Islam didapati turut menggunakan platform masjid untuk program politik, meskipun difahamkan tidak mendapat kebenaran jawatankuasa pentadbiran masjid.

"Pas Perak kesal dengan sikap pemimpin PH Perak yang berterusan menghentam parti pembangkang yang menggunakan masjid dan surau untuk program tadarus dan tazkirah.

"Namun hakikatnya mereka turut menggunakan premis sama untuk kepentingan politik.

"Dalam perkara ini, JAIPk dan Exco Agama tidak boleh bersikap pilih bulu, sebaliknya ambil juga tindakan ke atas mana-mana ahli politik penyokong parti kerajaan yang salah guna masjid dan surau,"katanya kepada media di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Program politik di masjid: JAIPk buka kertas siasatan

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak tegur parti berpolitik di masjid

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar masjid dan surau di negeri ini tidak disalahgunakan pihak tertentu untuk tujuan politik dengan mengadakan program serta menggantung sepanduk tertera logo politik.

Tuanku Sultan Nazrin semalam turut memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau didakwa membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatannya, sementara siasatan dilakukan.

Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan mana-mana jawatankuasa masjid dan surau di Perak ingkar dengan larangan membenarkan penganjuran sebarang aktiviti politik di dalam masjid dan surau dianggap menderhaka kepada Sultan Perak.