MySP AI bantu perkukuh keselamatan pelajar di sekolah, asrama

KUALA KANGSAR - Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem MySP AI menawarkan pendekatan baharu membantu memperkukuh keselamatan pelajar di sekolah, termasuk menangani isu buli dan keselamatan mental.
Inovasi dibangunkan Studentpay Solution Sdn Bhd (Studentpay) dengan kerjasama strategik Yayasan Didik Negara dan CyberSecurity Malaysia itu menyediakan rekod analitik menerusi sistem imbasan wajah.
Ketua Pegawai Eksekutif Studentpay, Hafez Shuriddin berkata, sistem berkenaan membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa melakukan pemantauan bersama terhadap kehadiran, disiplin serta aktiviti harian pelajar menerusi laporan visual yang dikemas kini secara masa nyata.
Menurutnya, sistem berkenaan turut menyediakan rekod analitik berdasarkan perubahan ekspresi wajah pelajar seperti muram dan sedih yang boleh dijadikan petunjuk awal untuk pihak sekolah mengenal pasti mereka yang memerlukan perhatian.
"Bagaimanapun, sistem ini tidak terus mengklasifikasikan seseorang pelajar mempunyai masalah emosi atau mental, sebaliknya menyediakan maklumat untuk membantu guru dan kaunselor membuat pemantauan lanjut.
"Dengan pengesanan lebih awal dan tindakan susulan yang lebih cepat pastinya dapat mengekang daripada berlaku pelbagai kejadian tidak diingini kepada pelajar tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Pengaktifan MySP AI Jaringan Keselamatan Anak Anda dan Pertukaran Dokumen Toun n Go Digital (TNGD) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sheikh Idris Al-Marbawi di sini pada Rabu.
Hafez berkata, inisiatif berkenaan kini memberi manfaat kepada kira-kira 55,000 pelajar di 195 sekolah seluruh negara dengan hampir 70 peratus daripadanya merupakan sekolah luar bandar.
"Kita harap sistem ini membantu menangani kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak, khususnya mereka yang tinggal di asrama susulan pelbagai isu membabitkan kebajikan dan kes buli dalam kalangan pelajar," katanya.
Mengulas mengenai pengoperasian sistem itu, Hafez berkata, imej wajah pelajar dirakam menggunakan kamera telefon pintar sebelum diproses menerusi teknologi pengecaman wajah bagi mengesahkan identiti dan merekodkan kehadiran mereka ke sekolah.
Katanya, data kehadiran daripada pengesanan itu kemudiannya dianalisis bagi menjana laporan lengkap berkaitan profil kehadiran, disiplin, sahsiah serta aktiviti yang dilaksanakan oleh pelajar tersebut.
"Semua maklumat seperti rekod kehadiran, disiplin dan amalan baik pelajar boleh terus disemak secara terus oleh ibu bapa serta guru dalam Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu (MOEIS)," katanya.
Terdahulu, Hafez bersama Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan TNGD, Tengku Sofiah Aishah Tengku Mahmood menyempurnakan pertukaran dokumen persefahaman bagi memeterai kerjasama antara kedua-dua pihak.
Kerjasama tersebut bagi mengintegrasikan kemudahan pembayaran, membolehkan pelajar melakukan pembelian di kantin atau koperasi sekolah secara tanpa tunai, selain ibu bapa menetapkan had perbelanjaan harian mengikut keperluan anak masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

