Blok pembangkang dakwa AG campur tangan terbuka inkues Adib

Sidang media blok pembangkang, hari ini.
Sidang media blok pembangkang, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang didakwa melakukan campur tangan secara terbuka dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya mempersoalkan tindakan Peguam Negara mengarahkan peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor menarik diri daripada mengendalikan kes terbabit.

Katanya, ia jelas membuktikan wujud campur tangan dan mendakwa Tommy bertindak di luar bidang kuasanya.

“Kami daripada blok pembangkang melihat Peguam Negara campur tangan secara terbuka dalam pengendalian inkues kes Adib, malah pihak Jabatan Peguam Negara juga dakwa kematian Adib bukan sebab dipukul, ia jelas melangkaui keputusan mahkamah.

“Terbaru, Peguam Negara arahkan peguam KPKT, Syazlin tarik diri dan kita rasakan Tommy bertindak di luar bidang kuasa, ini merupakan kegagalan beliau dalam peranan menasihati kerajaan. Kami di blok pembangkang desak Peguam Negara letak jawatan atau kerajaan memecat beliau,” katanya dalam pada sidang media di Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.

Tambahnya, pembangkang meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula pelantikan Tommy kerana tindakannya membuatkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan.

“Kita minta kerajaan kaji semula kedudukan Tommy sebagai Peguam Negara, kalau beliau letak jawatan sendiri lagi baik dan jika beliau enggan, terserah kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengusulkan perkara ini kepada Yang Dipertuan Agong,” ujarnya.

Susulan itu, beliau turut mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengadili kes kematian Adib ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita tuntut RCI Adib demi keadilan dan juga mengembalikan kepercayaan rakyat, itu yang perlu. Terserah kepada budi bicara kerajaan untuk lantik siapa bagi mengendalikan RCI ini,” cadangnya.

Selain itu, blok pembangkang nafi sengaja mempolitikkan isu kematian Adib sebaliknya, mempersoalkan cara kes ini dikendalikan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, UMNO dan Pas tidak pernah sesekali menjadikan isu kematian Adib sebagai isu kaum atau dipolitikkan untuk kepentingan pembangkang.

“UMNO dan Pas tidak pernah mempolitikkan isu kematian Adib, ini isu keadilan, kita (pembangkang) tidak jadikan ini isu kaum atau politik, tapi isu keadilan... keluarga Adib perlukan keadilan, Adib tak boleh meninggal dunia tanpa pembelaan yang sewajarnya.

“Kita perlu bezakan mempolitikkan isu kematian Adib dengan kehendak pengendalian kes ini, isu Teoh Beng Hock dipolitikkan, kita tak pernah politikkan. Cuma kita sentuh pembelaan terhadap kakitangan kerajaan yang terkorban, kebetulan nama dia Adib, kalau nama dia Maniam atau Ah Seng, kita tetap akan perjuangkan,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pas menegaskan, pembangkang bukannya memperjuangkan soal kaum, tapi keadilan untuk Adib yang juga seorang kakitangan kerajaan yang meninggal dunia sewaktu menjalankan tugas.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang tak wajar politikkan inkues Adib

Kelmarin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyifatkan peranan Syazlin tidak diperlukan lagi dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Kata Zuraida, ini kerana Peguam Negara bertindak mewakili kerajaan termasuk kementeriannya serta JBPM.

Syazlin mengumumkan menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad, yang bersidang sebagai Koroner, ketika prosiding hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Penarikan diri beliau mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan mengenai kedudukan inkues berkenaan dalam memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).