Pembangkang tak wajar politikkan inkues Adib

Mahfuz (dua, kiri) memegang replika kad KIDA sebagai gimik pelancaran program, sebelum mengagihkan kad kepada 185 penerima bagi daerah Pokok Sena.
Mahfuz (dua, kiri) memegang replika kad KIDA sebagai gimik pelancaran program, sebelum mengagihkan kad kepada 185 penerima bagi daerah Pokok Sena.
A
A
A

POKOK SENA - Pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan kes inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, selepas Peguam Negara, Tommy Thomas meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menarik balik pelantikan Syazlin Mansor daripada mewakili kementerian itu dan jabatan bomba.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebaliknya ia perlu dilihat dari aspek perundangan.

Menurutnya, tidak wajar sekiranya ada pihak luar cuba mengelirukan antara isu politik dengan proses perundangan terbabit.

“Saya fikir semua ahli perundangan faham situasi yang berlaku, Syazlin tidak boleh mewakili KPKT serta bomba dan keluarga arwah Adib serentak.

"Isu seperti ini tidak wajar dimanipulasi pembangkang, hanya mereka yang mempunyai latar belakang perundangan faham situasi sebenar,” katanya, selepas majlis penyampaian Kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) daerah Pokok Sena, di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, di sini hari ini.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, tindakan Jabatan Peguam Negara itu adalah wajar agar tidak berlaku percanggahan kepentingan ketika Syazlin mengendalikan kes itu.

“Apa yang dilakukan itu tepat kerana tidak boleh bersekali dengan dua kepentingan bagi memastikan proses keadilan dapat berlaku khususnya untuk keluarga arwah Adib. Kita tak mahu kelak wujud persimpangan antara dua pihak terbabit,” katanya.

Menurutnya, sudah jelas dalam mana-mana proses perundangan atau inkues, tidak boleh wujud percanggahan kepentingan antara pihak kerajaan dengan pihak lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak fikir ada pihak nak beri tekanan kepada Syazlin, proses inkues juga tidak terjejas kerana peguam mewakili Adib bukan Syazlin seorang, ada peguam lain cuma dia salah seorang yang aktif,” katanya.

Mahfuz berkata, Syazlin sepatutnya meneruskan peranan sebagai peguam kepada keluarga arwah Adib kerana tidak dihalang jabatan terbabit.

“Apa pun, inkues ini mesti diteruskan sehingga selesai, lantikan baharu perlu dilakukan segera,” katanya.

Kelmarin, Syazlin yang mewakili ketiga-tiga pihak berkepentingan mengumumkan penarikan diri di Mahkamah Koroner Shah Alam, dipercayai akibat tekanan beberapa pihak.

Tindakannya itu dikritik pelbagai pihak termasuk pembangkang yang mempersoal motif pembatalan lantikan Syazlin.

Namun, Tommy Thomas tampil menjelaskan kekeliruan dan spekulasi berhubung penarikan diri Syazlin, dengan mengemukakan empat sebab.

Muhammad Adib, 24, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Allahyarham parah selepas dipercayai dipukul dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.