'Saya 'langgar' nasihat Kay Kim'

Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Datuk Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut melahirkan rasa sedih berikutan berita pemergian Profesor Emeritus, Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim pagi tadi.

Menurut Saifuddin sebagai seorang bekas anak muridnya, beliau sangat terkesan dengan berita itu tatkala beliau perlu ke Arab Saudi petang ini untuk menyertai Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Prof Khoo mahaguru saya. Saya mengkhusus Sejarah di Universiti Malaya untuk mendapatkan ijazah Sarjana Muda Sastera pada sesi 81/82 hingga 83/84. Beliau Ketua Jabatan Sejarah," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengimbau kembali detik mendiang mengajarnya, Saifuddin menyifatkan beliau sebagai seorang yang tegas dan jujur dalam mendidik anak bangsa.

"Saya masih ingat kuliah pertama Sejarah Malaysia semasa saya di tahun satu. Prof Khoo memulakan kuliahnya dengan menyatakan, “Sejarah adalah fakta, bukannya apa yang anda fikir tentang masa lalu”.

"Katanya lagi, “Sejarah adalah juga penafsiran fakta tersebut. Anda masuk universiti untuk belajar menafsir fakta sejarah. Kalau hendak menghafal fakta sahaja, anda tidak perlu masuk universiti”.

"Beliau mengingatkan bahawa penafsiran mestilah tepat. Dalam salah satu peperiksaan, kami diminta menjawab setiap soalan dengan tidak lebih daripada 40 patah perkataan. Rasionalnya, “Kalau anda tulis panjang-panjang, anda goreng saja!”," imbaunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarawan negara Khoo Kay Kim meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, mendiang juga sentiasa mengingatkan pelajar-pelajarnya bahawa teras Sejarah ialah ‘primary sources’ (rujukan primari).

"Kami diajar tentangnya dengan menulis sejarah tempatan: kampung, sekolah atau daerah kami, dengan menggunakan dokumen-dokumen asal atau temubual – primary sources.

"Prof Khoo pensyarah paling saya minati. Beliau mengajar dengan cara yang menarik. Kerana beliau minat mengajar. Menghadiri kelasnya umpama mengikuti cerita perjalanan negara," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau 'melanggar' nasihat Kay Kim agar beliau menjadi seorang pensyarah sepertinya.

"Saya tidak mengikut nasihat Prof Khoo untuk menjadi pensyarah. Tetapi, semasa berbual-bual dengannya pada malam hujung Mac itu, saya berjanji kepadanya akan membantu Eddin membukukan semua penulisannya yang belum diterbitkan dan mengkompilasi, termasuk menterjemah, agar menjadi himpunan pemikiran Sejarah Malaysia paling komprehensif pernah dihasilkan seorang rakyatnya.

"Tidak disangka itu perbualan terakhir dengannya. Kini, saya bertanggungjawab menunaikan janji itu," katanya.

Tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Kay Kim yang berusia 82 tahun meninggal dunia pada jam 10.13 pagi tadi.