Luluh hati Young Syefura terima berita pemergian Salahuddin

Young Syefura Othman tiba di kediaman ibu Salahuddin Ayub di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi. - Foto Awani
Young Syefura Othman tiba di kediaman ibu Salahuddin Ayub di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengakui amat terkesan dengan pemergian mengejut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, Ahad malam.

Menurut Young Syefura yang juga dikenali sebagai Rara, Allahyarham Salahuddin sudah dianggap beliau seperti bapa sendiri yang banyak memberi tunjuk ajar serta nasihat.

"Satu berita yang sangat mengejutkan. Datuk Seri Salahuddin seperti bapa saya sendiri, memang kami selalu berjumpa.

Dia selalu bagi nasihat kepada saya.

"Beberapa bulan sekali kami akan makan malam.

Berbincang dan berkongsi dan bila perkara ini terjadi saya tak sangka," katanya kepada media ketika ditemui di kediaman ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Kongsi Young Syefura, kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham Salahuddin ialah di Pulau Pinang.

"Arwah nampak sangat sihat dan ceria.

Malah kami dan rancang lepas PRN (pilihan raya negeri) nanti untuk bertemu dan makan bersama tapi tak sangka benda ini berlaku.

Luluh hati saya bila dapat berita ini," katanya memaklumkan negara kehilangan individu yang banyak berjasa kepada negara.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada jam 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Ahli Parlimen Pulai itu mengalami pendarahan otak.

Salahuddin kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.23 malam tadi.

Berita duka itu dimaklumkan sendiri oleh anak beliau di laman Facebooknya, Fatihah Salahuddin. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin Ayub meninggal dunia

'Berehatlah sahabatku...' - Anwar

Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin

Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub

Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar

Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu

Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi

Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai