Untung TNB susut susulan kerugian rosot nilai, cukai tinggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) turun sebanyak 27 peratus tahun ke tahun kepada RM1.56 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2019, disebabkan kerugian bersih rosot nilai instrumen kewangan sebanyak RM279.7 juta dan perbelanjaan cukai lebih tinggi sebanyak 85 peratus.

Sebaliknya, hasil meningkat kepada RM13.24 bilion berbanding RM12.27 bilion sebelum ini, sebahagian besarnya dipacu peningkatan lapan peratus jualan elektrik kumpulan kepada RM13.01 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan asas utiliti tenaga itu merosot kepada 27.38 sen daripada 37.41 sen pada tahun sebelumnya.

TNB berkata, prestasi kumpulan itu dijangka kekal stabil bagi tahun kewangan ini berdasarkan unjuran ekonomi.

"Pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah sederhana pada 4.5 peratus pada suku pertama 2019 (suku keempat 2018: 4.7 peratus) didorong kebanyakannya oleh pengembangan permintaan domestik.

"Bagi tahun 2019, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada kedudukan stabil disokong oleh langkah monetari oleh Bank Negara dan pengembangan berterusan dalam permintaan domestik," katanya.

Dalam kenyataan akhbar, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah berkata, berdasarkan iklim ekonomi semasa, kumpulan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perniagaan dan kedudukannya di negara-negara ia beroperasi dengan mengambil pendirian berhemat berhubung pelaburan dan memastikan model perniagaan di negara-negara adalah mantap.

"TNB telah mencatatkan sejumlah besar rosot nilai dan sedang meneroka pilihan melindungi nilai bagi mengurangkan kerugian tukaran asing sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengurangkan kesan kewangan akibat daripada pelaburan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Secara spesifik, permintaan elektrik di Turki dijangka meningkat dan portfolio aset yang dimiliki oleh Gama Enerji AS adalah satu yang menguntungkan kerana kualiti loji penjanaan dan konsesi air, katanya.

Walaupun menghadapi cabaran kewangan, pasukan pelaburan strategik TNB menjangkakan pulangan pelaburan jangka panjang yang positif.

Mengenai pelaburan di India, beliau berkata ia telah menunjukkan potensi untuk berkembang kerana penggunaan tenaga elektrik di negara ini dijangka meningkat.

Negara itu juga membuka pintu kepada projek kuasa baharu dan akan datang untuk menampung jumlah permintaan tenaga yang besar di sana, katanya. - Bernama