DAP keluar arahan patuh titah Sultan Perak

DAP Perak setiap tahun meraikan media dalam majlis berbuka puasa.
DAP Perak setiap tahun meraikan media dalam majlis berbuka puasa.
A
A
A

IPOH - DAP Perak akan mengeluarkan arahan kepada semua ahli di 300 cawangannya berhubung pematuhan titah Sultan Perak mengenai larangan penggunaan masjid dan surau bagi aktiviti berunsur politik kepartian.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, peringatan itu termasuklah penggunaan sebarang sepanduk yang memaparkan logo parti.

"Pematuhan ini bukan setakat Ramadan sahaja, tetapi untuk semua pelaksanaan aktiviti kerana sebagai wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dari DAP juga tidak terlepas hadir menyantuni ahli kariah kawasan masing-masing menerusi program yang diadakan di masjid dan surau," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa DAP Perak bersama media semalam.

Menurutnya, kepimpinan DAP negeri menjunjung tinggi titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan menyokong penuh tindakan tegas diambil Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Titah ini akan dipatuhi sepenuhnya dan selama ini pun, kita tak pernah langgar, program yang kita adakan hanyalah berupa penyampaian sumbangan, sama sekali tidak melibatkan ceramah," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat memaklumkan, lebih RM1 juta diperuntukkan 42 Ahli Parlimen DAP untuk disumbangkan di masjid dan surau di seluruh negara sempena Ramadan ini.

Katanya, peruntukan sama turut diberikan kepada agensi kerajaan bagi penganjuran iftar bersama kakitangan.

"Yang Berhormat dari Ipoh Timur sendiri meluluskan RM130,000 untuk masjid dan surau di kawasan itu bagi menjalankan kegiatan kerohanian dan saya sendiri memperuntukkan RM40,000 untuk diagihkan kepada 20 masjid dalam kawasan Parlimen Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan disampaikan ini bukan sekadar tanggungjawab seorang wakil rakyat. Pastinya kita akan terus berperanan di atas landasan yang betul bagi mencerminkan keterbukaan dan perpaduan nasional," katanya.