Sugarbomb rancang buka kilang baharu pada tahun 2020

A
A

PENGELUAR minyak wangi, Sugarbomb menyasarkan jualan sehingga 900,000 unit botol pada tahun ini iaitu peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli berkata, syarikat optimis mampu mencapai sasaran tersebut yang dipacu oleh peningkatan ejen jualannya di seluruh negara.

"Sehingga kini kami mempunyai seramai 3,500 ejen jualan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Kami jangka angka ini akan meningkat sehingga 5,000 menjelang akhir tahun nanti.

"Selain itu, pelantikan ejen jualan di Singapura Januari lalu dan di Brunei pada Disember tahun lepas, dijangka akan memacu lagi pertumbuhan jualan syarikat pada tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika di temui di Pejabat Urusan Sugarbomb di Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurut Ahmad Azhari, sejak pembukaan ibu pejabat mini di Tawau, Sabah yang merupakan pasaran terbesar syarikat dan Sarikei, Sarawak, kedua-dua cawangan itu konsisten menyumbang jualan sehingga 30,000 unit setiap bulan.

Sugarbomb juga mempunyai seramai 35 rakan niaga eksklusif di setiap negeri di seluruh negara termasuk di Singapura dan Brunei.

"Saya optimis sasaran ini mampu dicapai berdasarkan kekuatan ejen jualan yang ramai, harga berpatutan dan disokong kemampuan kilang menghasilkan sebanyak 10,000 unit botol minyak wangi setiap hari,” katanya.

Bermula

Sugarbomb, jenama yang didaftarkan di bawah syarikat Infinite Opportunities Sdn Bhd pada Mac 2017 dan bermula dengan hanya tiga kakitangan di bahagian pengeluaran dengan jualan pertama sebanyak 500 unit sahaja.

Ahmad Azhari berkata, ketika itu pengeluaran Sugarbomb fokus kepada lima jenis wangian sahaja dan kini terdapat lebih 50 wangian dihasilkan.

"Selepas dua tahun beroperasi, Sugarbomb memiliki seramai 58 kakitangan termasuk enam ahli kimia yang berperanan membancuh dan menghasilkan wangian Sugarbomb serta seorang pakar kimia dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai sebagai penyelia.

"Pengenalan dengan seorang pakar kimia Dr Zamir Othman dari USIM, menjadi titik tolak bermulanya Sugarbomb. Sebelum pulang ke Malaysia, mereka melakukan kajian tentang wangian di United Kingdom.

"Hasil kajian itu telah mendorong pembukaan Sugarbomb setelah Ahmad Azhari menamatkan pengajiannya dalam bidang Sarjana Kejuruteraan Aeronautikal di Universiti of Bristol, United Kingdom pada 2015," katanya.

Kilang pertama

Memberitahu lanjut, Ahmad Azhari berkata, belum sampai setahun beroperasi, Sugarbomb mengorak langkah membuka kilangnya sendiri di Setia Alam, Selangor.

"Dengan Keluasan kira-kira 5,600 kaki persegi, kilang yang dibina pada 2018 itu mempunyai sebanyak 15 buah mesin, mampu menghasilkan sebanyak 10,000 unit sehari.

"Di kilang itu, wangian dihasilkan setelah melalui R&D selama lebih tiga bulan. Bahan-bahan utamanya pula diimport daripada Switzerland.

"Istimewanya Sugarbomb, selain kilang yang bakal mendapat status Amalan Pengilangan Baik (GMP), produk kami juga ke arah proses mendapatkan persijilan halal.

"Harga minyak wangi Sugarbomb dijual pada RM35 bagi sebotol 30 mililiter (ml) dan mampu bertahan selama dua hari pada fabrik. Dengan pelbagai wangian pilihan, keunikan ini menjadikan kami berbeza dengan wangian lain yang ada di pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Azhari memberitahu, Sugarbomb kini merancang membuka sebuah lagi kilang baharu yang dijangka dibina di Setia Alam, Selangor pada tahun 2020.

"Kami jangkakan dengan pembukaan kilang baharu, pengeluaran akan meningkat sehingga 15,000 botol sehari.

"Ini bermakna kilang baharu mampu mengeluarkan sehingga 150,000 unit botol sebulan iaitu peningkatan sebanyak 50,000 unit botol berbanding pengeluaran di kilang sekarang,” katanya.