Pemain PKNP FC perlu faham cabaran Presiden

Kapten PKNP FC, Hafiz Ramdan mengawal bola pada aksi berdepan Perak baru-baru ini. - FOTO PKNP FC
Kapten PKNP FC, Hafiz Ramdan mengawal bola pada aksi berdepan Perak baru-baru ini. - FOTO PKNP FC
A
A
A

IPOH – Cabaran untuk meletakkan jawatan yang diumumkan Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, perlu difahami sepenuhnya oleh kesebelasan pemain bagi menggalas tanggungjawab untuk mengumpul mata pada baki tujuh perlawanan terakhir Liga Super musim ini.

Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata, cabaran berkenaan dilihat adil dan perlu dipikul bersama oleh kesebelasan PKNP FC demi merealisasikan hasrat untuk terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super.

Malah menurutnya, cabaran berkenaan adalah cabaran paling getir yang dihadapinya di sepanjang kariernya selama bergelar ketua jurulatih bagi PKNP FC.

“Bagi saya cabaran itu adil dan saya perlu pikul cabaran ini. Tak ada alasan untuk saya dan pemain. Hanya tinggal tujuh perlawanan dan apa sahaja boleh berlaku.

“Gagalnya PKNP FC bermakna gagalnya saya kerana segala perancangan adalah daripada saya. Saya yang cadangkan pemain kepada pengurusan,” katanya di sini, semalam.

Abu Bakar berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama PKNP FC di Casuarina@Meru.

Untuk rekod, setakat ini PKNP FC berada pada kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan mengumpul 12 mata, hasil tiga kemenangan, tiga seri dan tewas sembilan kali setakat ini.

Terbaharu, PKNP FC tewas 1-4 kepada Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Cheras, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kekalahan berkenaan Abu Bakar berkata, hasil kesilapan mudah dalam tempoh lapan minit di babak pertama menyebabkan PKNP FC gagal membawa pulang sebarang mata pada aksi berdepan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Cheras, baru-baru ini.

Katanya, kesebelasan pemain perlu menerima kekalahan berkenaan termasuk teguran kerana aksi di Liga Super tidak membenarkan sebarang kesilapan sebagaimana yang berlaku dalam saingan Piala Presiden dan sebagainya.

“Kita agak terkejut dengan kesilapan mudah yang kita buat dalam tempoh lapan minit itu. Kita akan buat buat post-mortem khususnya di posisi pertahanan kerana daripada 15 perlawanan, kita dibolosi 30 gol.

“Berdasarkan perkiraan jentera serangan PKNP FC perlu menjaringkan dua atau tiga gol untuk mendapatkan mata.

“Ini perkiraan matematik dan ia penting dalam usaha kita untuk meraih mata dalam tujuh perlawanan terakhir nanti,” katanya.