Jemaah perlu bersedia cabaran kemuncak haji

Suasana di Arafah, Mudzalifah yang mencabar emosi dan fizikal jemaah haji.
Suasana di Arafah, Mudzalifah yang mencabar emosi dan fizikal jemaah haji.
A
A
A

MAKKAH - Jemaah haji perlu bersedia dengan pelbagai cabaran di Arafah, Mudzalifah dan Mina memandangkan lokasi berkenaan menjadi tumpuan tiga juta umat Islam untuk melaksanakan ibadah haji.

Ketua Pakar Rujuk, Dr Anisah Ab Ghani berkata, setiap jemaah juga perlu mendidik emosi mereka supaya sentiasa sabar kerana berada semasa operasi Masyair boleh diibaratkan seperti di Padang Mahsyar kecil.

"Keadaan khemah yang tak selesa kerana terpaksa duduk dalam keadaan sempit, kadang-kadang panas dan bilik air yang tak sempurna.

"Jemaah kena didik daripada awal emosi macam mana nak hadapi keadaan macam itu kerana dalam bahasa Arab kerja haji diibaratkan seperti kusut masai," katanya.

Dr Anisah
Dr Anisah

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Abraj Janadriyah, di sini mengenai persiapan jemaah sebelum ke Arafah bermula esok (Isnin).

Dr Anisah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji (TH) berkata, jemaah haji juga perlu menginsafi diri bahawa kemuncak ibadah ini bukanlah tempat untuk bersenang-lenang.

"Anggap kita nak berdepan dengan ALLAH bukannya nak makan sedap, tempat tidur yang selesa dan sebagainya," katanya.

Kata beliau, masa yang ada juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya tidak terisi dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan kemabruran haji.

"Kena ada perancangan apa yang kita nak minta daripada ALLAH, doa untuk diri sendiri, isteri atau suami, anak-anak, kawan-kawan dan jiran," katanya.

Jemaah perlu membanyakkan doa memohon keampunan daripada ALLAH.
Jemaah perlu membanyakkan doa memohon keampunan daripada ALLAH.

Selain berdoa, Dr Anisah turut menasihatkan jemaah haji supaya memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran dan amalan-amalan sunat lain.

"Ia juga dapat mengelakkan jemaah daripada membuang masa berbual kosong, mengumpat, bertengkar dan perkara lagha yang sia-sia.

"Dalam sahih Muslim daripada Aisyah RA Nabi Muhammad bersabda: Tidak ada hari yang lebih banyak ALLAH membebaskan seorang hamba dari neraka dibanding pada hari Arafah.

"Maka rebutlah peluang yang ada kerana belum tentu kita akan dapat hadir lagi selepas ini," katanya.

Menyentuh mengenai ilmu berkaitan haji, Dr Anisah berkata masih belum terlewat untuk mengukuhkan pengetahuan supaya dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna semasa Masyair.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf yang menjadi kemuncak haji, adalah pada Selasa ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.