Mekanik dipenjara 4 tahun kerana langgar peserta maraton

No Image Caption
A
A
A

KLANG Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM7,000 kerana memandu laju dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang peserta larian Klang City International Marathon, Evelyn Ang Gek Suan, 45 pada Disember 2017.

Tertuduh, Teoh Thiam Lim, 30 turut dijatuhi hukuman hilang kelayakan untuk memegang lesen memandu selama tiga tahun selain sabitan berkenaan direkodkan dalam lesen memandunya.

Majistret Roslizi Sulaiman mengarahkan semua hukuman berjalan serentak bermula hari ini selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, oleh itu, tertuduh disabitkan bersalah atas kesalahan memandu sehingga menyebabkan kematian mendiang (Evelyn Ang)," katanya.

Majistret Roslizi turut mengarahkan tambahan penjara selama tujuh bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan, Teoh bagaimanapun membayar denda itu. Mengikut pertuduhan pilihan Teoh didakwa memandu kereta jenis Proton Iswara secara laju dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Evelyn pada 10 Disember 2017 di Batu 2, Jalan Kapar di sini, kira-kira pukul 4.30 pagi,

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun serta denda maksimum RM20,000 selain lesen memandu digantung tidak kurang daripada tiga tahun.

Selepas kira-kira tiga bulan bertarung nyawa, Evelyn, 44, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Buloh pada 1 Mac 2018.

Selain Evelyn, insiden berkenaan turut mencederakan dua peserta yang lain, Amiruddin Hamid, 37, serta Ahmad Hadafi Jus, 42.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Ermadieyani Ismadi manakala Teoh diwakili oleh Ravi Nekoo.

Terdahulu Ravi memohon penangguhan hukuman sementara menunggu permohonan rayuan dikemukakan.

Roslizi bagaimanapun menolak permohonan berkenaan memandangkan tiada keadaan khas wujud dalam kes itu.

"Penangguhan hukuman merupakan budi bicara mahkamah dan budi bicara ini perlu dilaksanakan mengikut prinsip undang-undang," katanya. -Bernama