Manis sumbang ayam kepada pengamal media

Buat julung-julung kalinya pengamal media menerima sumbangan ayam mentah sempena Aidilfitri.
Buat julung-julung kalinya pengamal media menerima sumbangan ayam mentah sempena Aidilfitri.
A
A
A

SEREMBAN - Buat julung-julung kalinya Kelab Media Negeri Sembilan (Manis) dengan kerjasama Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith memberi sumbangan ayam mentah kepada pengamal media di negeri ini, hari ini.

Sebanyak 106 ekor ayam diberi kepada 53 ahli Manis dalam majlis ringkas diadakan di sini, sempena Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Pengerusinya, Arfi Ahmad berkata, kelab terpaksa membuat pengagihan ayam lebih awal berikutan ada yang sudah mula bercuti.

"Bagi yang bekerja pada hari raya, ada yang sudah mula bercuti. Jadi, kita terpaksa agihkan lebih awal supaya semuanya dapat merasa.

"Setiap ahli beragama Islam akan menerima dua ekor ayam mentah dan program kerjasama sebegini julung kali dianjurkan oleh kelab media di negeri ini," katanya.

Menurutnya, jika ada sumber kewangan mencukupi, Manis berhasrat mengadakan majlis sama pada Hari Raya Aidiladha, Ogos ini.

Oleh sebab itu beliau mengalu-alukan mana-mana pihak sama ada kerajaan atau swasta untuk bekerjasama.

"Kita bukan kelab yang menjana pendapatan, tapi sumber kewangan yang kita ada adalah hasil sumbangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurugambar The New Straits Times (NST), Iqmal Haqim Rosman berkata, jika selama ini pengamal media membuat liputan orang ramai menerima sumbangan sempena Aidilfitri, tetapi kali ini pengamal media yang menjadi penerima.

"Bagi saya ia satu program yang menarik dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara pengamal media di negeri ini," katanya.

Begitu juga dengan jurugambar Bernama, Hamzah Md Som yang berharap program sebegitu dapat diteruskan dan dipelbagaikan pada masa akan datang.

"Ia seperti satu penghargaan buat kami. Walaupun dua ekor ayam diberi, tetapi bagi saya ia sangat bermakna," katanya.