Hawana: Pengamal media terus dihujani ucapan penghargaan

Hawana 2023 yang disambut hari ini terus mendapat perhatian pemimpin negara apabila menerima ucapan penghargaan yang tak putus-putus sejak semalam. - Foto Bernama
Hawana 2023 yang disambut hari ini terus mendapat perhatian pemimpin negara apabila menerima ucapan penghargaan yang tak putus-putus sejak semalam. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang disambut hari ini terus mendapat perhatian pemimpin negara apabila menerima ucapan penghargaan yang tak putus-putus sejak semalam.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerusi Facebook turut menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media khususnya dalam menjayakan inisiatif yang digerakkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami di KKM sentiasa mengiktiraf peranan mustahak yang dimainkan para wartawan dan kerjasama rapat dengan para wartawan adalah penting dalam memastikan maklumat yang sahih dan mutakhir terkait kesihatan rakyat diterima mereka.

"KKM adalah penggubal dasar dan pengamal media adalah perantara dan kami harap bersama kita memainkan peranan masing-masing demi kesihatan rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Kerjaya Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun zaman sudah berubah, wartawan tetap memainkan peranan penting dalam menyampai dan menyebarkan maklumat yang sahih kepada umum.

"Teruskan berkhidmat dengan menjunjung etika kewartawanan tanpa takut dan pilih kasih demi pembangunan negara serta rakyat," katanya.

Turut memberi ucapan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan serta kerja keras wartawan dan pengamal media di negara ini.

"Terima kasih kepada semua wartawan dan pengamal media yang berkampung di Ipoh sempena Hawana 2023.

"Semoga kita bersua kembali dan selamat Hari Wartawan Nasional," katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula berkata, tugas dan peranan pengamal media cukup besar dalam menyebarkan maklumat yang benar dan sahih kepada masyarakat lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan persepsi yang ditimbulkan sesetengah pihak.

"Saya berharap semoga pengamal media terus berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan yang diamalkan sejak dari dahulu lagi.

"Teruskan tugas demi membina sebuah negara yang bersatu padu, bertoleransi, harmoni serta saling menghormati antara masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut merakamkan penghargaan kepada wartawan beretika yang bertungkus lumus membanteras berita palsu selain turut menyumbang kepada pembangunan negara.

"Laporan berita yang positif dan sarat dengan kritikan membina, menjadikan wartawan sebagai pihak yang penting dan diperlukan bagi sebuah negara seperti Malaysia.

"Selamat Hari Wartawan Nasional 2023, terima kasih atas peranan yang dimainkan demi manfaat masyarakat dan negara," katanya.

Bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi" Hawana 2023 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini semalam.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Sementara itu, tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang turut meraikan petugas media yang membuat laporan operasi haji musim 1444 Hijrah di Makkah, Arab Saudi sempena HAWANA 2023.

Menurutnya, Tabung Haji (TH) sentiasa mengiktiraf pengamal media yang merupakan rakan strategik dalam menyampaikan maklumat operasi haji kepada jemaah haji, ahli keluarga dan masyarakat.

"Apabila musim haji, ia bukan hanya melibatkan 31,600 orang sahaja yang berada di Tanah Suci malah ahli keluarga, rakan sekerja dan masyarakat Islam secara umumnya turut mengikuti perkembangan apa yang berlaku di sini dan inilah peranan penting yang dimainkan media," katanya.

Beliau berkata, laporan berita yang tepat dapat menghilangkan kegusaran dalam kalangan ahli keluarga sekali gus tidak terpengaruh dengan berita tidak benar yang tersebar khususnya dalam media sosial. - Bernama