Dakwaan pemimpin Pas terhadap DAP tuduhan tidak berasas

Sheikh Omar (kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Terminal Bas dan Teksi Kluang.
Sheikh Omar (kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Terminal Bas dan Teksi Kluang.
A
A
A

KLUANG - Dakwaan seorang pemimpin Pas bahawa wakil-wakil rakyat DAP giat berlakon untuk mengelirukan umat Islam di negara ini tidak sepatutnya berlaku terutamanya di bulan Ramadan.

ADUN Paloh, Sheikh Omar Ali berkata, beliau melihat tindakan menyerang tanpa asas kukuh itu juga satu tuduhan berat dan tidak berasas terhadap parti tersebut.

"Bagi saya tuduhan ini tidak sepatutnya berlaku tambahan pula daripada pimpinan atau individu yang mewakili parti Islam dan sepatutnya mereka menunjukkan keterbukaan serta kemesraan yang Islam sendiri boleh tawarkan.

"Saya lihat apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana sepatutnya Pas itu sendiri perlu tunjuk contoh yang baik kepada agama-agama lain. Saya rasa bukan kerja kita untuk nilai kerja-kerja amal dan kebajikan yang dibuat oleh orang lain," katanya.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya dan Agihan Bubur Lambuk di Terminal Bas dan Teksi Kluang, di sini, petang semalam.

Menurut wakil rakyat DAP yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim) itu, beliau melihat DAP sebagai parti yang berbilang kaum walaupun majoriti ahlinya kaum Cina selain meraikan kepelbagaian rakyat di negara ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani melalui laman media sosialnya memuat naik gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sedang menjamah makanan dipercayai pada majlis berbuka puasa dan mendakwa 'lakonan' tersebut berjaya menambat 'beberapa ketul hati' orang Islam di negara ini.

Pada masa sama, melalui portfolio keusahawanannya, Sheikh Omar akan cuba mencari jalan untuk membantu menghidupkan semula kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di daerah ini seperti Terminal Bas dan Teksi Kluang serta Pasar Awam Kluang yang kini semakin suram.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat isu-isu yang berlaku di premis awam ini mempunyai latar belakang masalah yang hampir sama iaitu sama ada kemudahan yang ada ini perlu dinaik taraf atau diselenggara selain mencari tarikan baru supaya orang ramai minat untuk datang ke kawasan ini.

"Mungkin terdapat lokasi-lokasi di kawasan ini yang boleh dihidupkan semula dan kita tidak mahu kemudahan-kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai," katanya.