Baik pulih Seri Teratai siap Julai ini

Zairil melawat Seri Teratai bersama JKR, pagi semalam.
Zairil melawat Seri Teratai bersama JKR, pagi semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerja membaik pulih kediaman rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang, Seri Teratai dijangka siap pada hujung Julai 2019 ini dengan kos keseluruhan RM1.05 juta.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, kerja membaik pulih tersebut dijalankan bermula 14 Januari lalu dan kini telah siap sehingga 70 peratus.

Menurutnya, masalah utama di kediaman tersebut merupakan serangan anai-anai sehingga menyebabkan bangunan itu rosak.

"Mengikut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR), 70 peratus kerja membaik pulih telah disiapkan. Salah satu punca utama yang menyebabkan kerosakan di dalam bangunan kediaman ini ialah anai-anai.

"Oleh itu, kontraktor JKR telah menjalankan tiga langkah untuk menangani masalah anai-anai iaitu memusnahkan dua sarang, perlindungan perimeter di sekeliling bangunan dengan bahan kimia untuk mencegah kemasukan anai-anai dan membuat rawatan di bumbung kayu," katanya ketika dihubungi tadi.

Zairil berkata, skop kerja dibahagikan kepada tiga bahagian termasuk kerja senibina dan sivil, elektrikal serta mekanikal.

"Skop kerja senibina dan sivil di bangunan kediaman antaranya menaik taraf keseluruhan tandas dan bilik mandi termasuk kemasan jubin lantai serta dinding, membaik pulih lepaan dinding dan tiang, membaik pulih kemasan kayu pada tiang dan laluan serta membina baharu perabot binaan dalam.

"Bagi skop kerja elektrikal pula, ia melibatkan pendawaian semula keseluruhan pemasangan elektrik, telefon serta internet, memasang papan agihan, lampu dan kipas baru serta membaik pulih dan menaik taraf tiang lampu kawasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi skop mekanikal, pihak kontraktor telah menggantikan paip dalaman baru, membekal dan memasang penghawa dingin baru, membekal dan memasang sistem air panas serta membekal dan memasang hud dapur.

Pagi semalam, Zairil bersama Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir Shahabuddin Mohd Muyahidin telah membuat lawatan tapak untuk memantau perkembangan kerja.