'Saya tak terima tawaran lantikan exco'

Zainol Fadzi (dua dari kanan) meluangkan masa menumis ramuan bubur lambuk pada program berkenaan.
Zainol Fadzi (dua dari kanan) meluangkan masa menumis ramuan bubur lambuk pada program berkenaan.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang tawaran pelantikan Exco Kerajaan Perak yang baharu.

Penasihat Menteri Besar Perak ini juga memaklumkan, desas-desus mengatakan dia antara calon menggantikan beberapa Exco Kerajaan Perak yang dikhabarkan bakal digugurkan selepas Aidilfitri ini adalah tidak benar sama sekali.

"Kalau nak jadi exco saya dah jadi exco dan itu bukan sesuatu yang dijanjikan kerana tiada sebarang tawaran diterima serta permintaan dibuat selepas saya menyatakan sokongan kepada PH.

"Saya dilantik sebagai penasihat menteri besar dan saya terima berdasarkan pengalaman dengan kerajaan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Bubur Lambuk Perdana, anjuran Penyelaras DUN Kampung Gajah, di Dataran Medan Selera, di sini, hari ini.

Tambahnya, soal pemilihan barisan exco di Perak mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi di mana ia memerlukan persetujuan semua pimpinan tertinggi parti komponen PH negeri ini.

"Jadi soal yang digugurkan atau dilantik itu kita serahkan kepada pimpinan tertinggi PH Perak kerana mereka semua akan membincangkannya," katanya.

Menurut Zainol Fadzi, sistem pelantikan exco secara tahunan sejak 2010 menggantikan pelantikan sepenggal membolehkan prestasi exco dinilai serta dilihat dari masa ke semasa.

"Jadi jika berlaku tiada penyambungan mungkin ada sebab dan jika disambung juga ada sebabnya di mana semua itu diputuskan pimpinan parti negeri.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun apa yang penting sekali setiap exco yang mengangkat sumpah setiap tahun perlu mendapat perkenan Tuanku Sultan Perak," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Bubur Lambuk Perdana DUN Kampung Gajah, Zainol Fadzi berkata sebanyak 40 periuk di masak dan disediakan oleh agensi dan jabatan kerajaan serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dalam DUN berkenaan.

"Setiap wakil ini memasak resipi bubur lambuk masing-masing dan kita mempunyai pelbagai rasa bubur lambuk sebelum ia diagihkan kepada orang ramai termasuk penduduk setiap kampung di dalam DUN Kampung Gajah," katanya.