Shu Qi gagal beri takrifan makna bangsa Malaysia

Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Wong Shu Qi
Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Wong Shu Qi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi gagal memberikan takrifan bagaimana bangsa Malaysia harus dimaknakan dan dilaksanakan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kenyataan tersebut sebagai mengulas penulisan Shu Qi dalam sebuah akhbar bertajuk 'Perpaduan Jadi Titik Pertemuan Malaysia Baharu' baru-baru ini.

Dalam penulisan itu, Shu Qi menyatakan konsep bangsa Malaysia perlu digiatkan oleh pihak media terutama bagi mewujudkan sebuah 'Naratif Malaysia' yang baharu.

Mohamed Khaled berkata, untuk merealisasikan konsep bangsa Malaysia, adalah amat mustahil dan ia merupakan retorik politik yang sedap diungkap menjadi halwa telinga.

Menurutnya, karakter Malaysia seawal terbentuknya negara ini, adalah kemajmukan berbangsa, berbudaya dan beragama.

"Ini kerana setiap daripada warganegara Malaysia dibezakan dengan agama, bangsa, pengalaman politik serta bahasa yang pelbagai.

"Maknanya, rakyat negara ini tidak pernah melalui proses untuk diasimilasikan sebagai sebuah bangsa.

"Kerana parti pemerintah kita sedari awal lagi memahami bahawa pemikiran, perwatakan dan citra pelbagai bangsa di negara ini harus dikekalkan sebagai identiti tersendiri tetapi di satu dan diikat melalui rasa kepunyaan kepada watan," katanya di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled berkata, atas sebab itu, terbentuk kewarganegaraan Malaysia dicirikan sebagai rakyat Malaysia, bukan pembentukan sebuah bangsa dengan nama, identiti dan budaya yang seragam.

"Tujuannya ialah kerana kita tidak mahu mencipta sebuah ‘Naratif Malaysia’ yang membutakan mata ramai rakyat terhadap kepelbagaian yang ada.

"Kita mahu keunikan berbangsa, berbudaya dan beragama diraikan, dihormati dan dilestarikan.

"Kita juga tidak mahu ‘Naratif Malaysia’ terang-terangan menolak budaya Melayu dan agama Islam sebagai faktor penting dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa moden," katanya.

Beliau turut menyarankan Shu Qi melihat kembali hujah-hujah dari Prof Syed Naquib Al-Attas bersama Lim Kit Siang berpuluh tahun dahulu, apabila berdebat mengenai konsep Bangsa Malaysia dalam konteks negara yang majmuk.

"Nyata dari debat tersebut, konsep membentuk bangsa adalah evolusi budaya dan kehidupan yang sangat panjang dan sangat sukar.

"Ini adalah kerana identiti sesuatu bangsa itu unik, terbentuk dengan ciri dan pemikiran tersendiri dan tidak dapat dijelmakan melalui hanya dengan pelaksanaan sesuatu dasar," katanya.

Mohamed Khaled juga mencadangkan agar ‘Naratif Malaysia’ yang baharu digembar gemburkan Kerajaan PH haruslah berpandukan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan terdahulu.

Katanya, mesti diutamakan dalam membangun ‘Naratif Malaysia’ dengan melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan beradab.

"Telah sampai masanya kita memperincikan atribut ‘good Malaysian citizenry’ daripada membicarakan bangsa Malaysia yang kompleks dan mustahil untuk dizahirkan.

"Apa lagi semenjak Kerajaan PH memerintah, kesepaduan negara ini menjadi semakin rapuh," katanya.

Beliau berkata, bersandarkan hujah tersebut, DAP disarankan agar melupakan konsep 'Malaysian Malaysia' yang menjadi ideologinya selama ini.