Pusat pengumpulan baju terpakai dapat sambutan hangat

Orang ramai memilih pakaian terpakai percuma di flat polis, Padang Hiliran, di sini.
Orang ramai memilih pakaian terpakai percuma di flat polis, Padang Hiliran, di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor memilih untuk membuka sebuah lagi pusat pengumpulan pakaian terpakai secara percuma di flat polis Padang Hiliran, di sini, selepas pusat sama yang dibuka di Kuala Berang, Hulu Terengganu mendapat sambutan hangat.

Rosli Nooral Azhar, 48, berkata, pusat pengumpulan pakaian terpakai di flat polis Padang Hiliran itu dibuka sementara bermula jam 10 pagi hingga 10 malam manakala pusat pengumpulan dan agihan di Kuala Berang dibuka selama 24 jam, sepanjang Ramadan.

"Selepas Ramadan, pusat di Kuala Berang beroperasi jam beroperasi jam 10 pagi hingga 4 petang manakala di Padang Hiliran tidak dibuka selepas Ramadan kerana ia dibuka sementara sahaja di lokasi itu," katanya.

Menurutnya, langkah yang dibuat bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pakaian percuma hasil sumbangan orang ramai.

"Idea untuk buka pusat ini bermula dari rumah saya sendiri sebab pakaian anak-anak dan isteri saya memang banyak dan saya rasa masalah ini bukan dialami oleh saya seorang saja, malah kebanyakan orang bermasalah dari segi pakaian tak terpakai ni walaupun masih elok.

"Jadi, saya buat keputusan untuk buka pusat pengumpulan pakaian terpakai bagi memberi ruang kepada mereka yang ingin menyumbang pakaian dan dalam masa yang sama boleh membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Inisiatif mewujudkan pusat pakaian terpakai percuma antaranya bagi membantu golongan kurang mampu mendapatkan persalinan sempena Aidilfitri.
Inisiatif mewujudkan pusat pakaian terpakai percuma antaranya bagi membantu golongan kurang mampu mendapatkan persalinan sempena Aidilfitri.

Beliau berkata, pelbagai pilihan fabrik pakaian yang didermakan itu juga terbuka untuk diambil oleh sesiapa sahaja mengikut cita rasa.

Artikel Berkaitan:

"Pakaian yang disumbangkan di sini terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mengambil dan membawa pulang. Tiada had. Sebab kita mahu semua orang dapat manfaat.

"Fokus utama saya buat pusat pengumpulan ini selain dari membantu mereka yang tak tahu nak letak di mana baju terpakai, saya juga ingin membantu mereka yang agak kurang bernasib baik supaya dapat bersama-sama memakai persalinan bagi merayakan Aidilfitri nanti," katanya.

Rosli berkata, usaha itu mendapat sambutan dan turut mendapat sumbangan dari negeri luar termasuk Perak.

"Alhamdulillah, ramai yang sokong usaha ini dan kita akan terus menggiatkan program seumpama ini dengan hanya tidak tertumpu pada Ramadan sahaja," katanya.