Dua beradik buat kuih sendiri bantu rakan golongan asnaf

Norzila (tengah) dan Hannah dan Hayrah (sebelah) bersama-sama murid yang menerima sumbangan biskut raya pada majlis itu di Bukit Baru, hari ini.
Norzila (tengah) dan Hannah dan Hayrah (sebelah) bersama-sama murid yang menerima sumbangan biskut raya pada majlis itu di Bukit Baru, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kesungguhan dan kegigihan dua beradik untuk membuat biskut raya kepada 88 rakan sekolah mereka yang dalam golongan asnaf wajar dicontohi.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Palembang, Hannah Norazlanshah,10, dan adiknya, Hayrah Norazlanshah,8, berjaya menghasilkan biskut raya sejak minggu lalu sebelum diagihkan kepada rakan-rakan dalam satu majlis Khatam al Quran dan penyampaian sumbangan di sekolah itu di Bukit Baru, di sini hari ini.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Datin Mashita Masri, 40, berkata, idea untuk membuat dan menjual biskut raya tercetus apabila anaknya mahu membeli sepasang kasut berharga RM80 namun dia tidak mahu mengajarnya mudah meminta-minta.

Menurutnya, kemudian anaknya bercadang membuat biskut raya sebelum hasrat dua daripada tiga anaknya itu direalisasikan dengan bantuan rakan yang juga seorang chef sehingga berjaya menyiapkan 1,400 bekas biskut raya yang dinamakan 'Uni Cookies.'

Katanya, dalam masa sama, dia juga menerima surat daripada sekolah bagi sumbangan hari raya kepada murid asnaf dan anaknya yang tidak tahu maksud perkataan tersebut telah bertanyakan kepada ustaz.

"Memang saya boleh belikan kasut yang berharga RM80, tapi saya nak didik yang mereka perlu berusaha keras untuk mendapat apa yang dihajati. Bagaimanapun keberkatan Ramadan mengubah segalanya, daripada niat nak beli kasut bertukar kepada bantu rakan yang asnaf," katanya.

Hannah (kiri) dan Hayrah menunjukkan tiga jenis biskut raya yang mereka hasilkan untuk diberikan rakan-rakan golongan yang asnaf.
Hannah (kiri) dan Hayrah menunjukkan tiga jenis biskut raya yang mereka hasilkan untuk diberikan rakan-rakan golongan yang asnaf.

Mashita berkata, anaknya turut terkejut apabila mengetahui seramai 88 rakan mereka di sekolah yang sama terdiri dalam kalangan golongan itu dan mereka lebih bersemangat untuk membuat tiga jenis biskut raya yang dinamakan, 'Fluffly Sky, Sunshine dan Rainbow Dust.

Artikel Berkaitan:

"Alhamudulillah dari sehelai kertas yang tertulis perkataan asnaf, membawa makna besar pada anak-anak," katanya.

Dalam pada itu Hannah berkata, dia simpati mengenangkan ada rakan-rakan yang serba kekurangan dan diberikan ujian termasuk kehilangan ibu bapa.

"Saya tak mampu nak bagi sumbangan dalam bentuk duit, jadi dengan cara ini dapatlah kami gembirakan kawan-kawan," katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Datuk Parlembang, Norzila Ahmad berkata, dia turut terkejut bila ada dalam kalangan murid yang bukan sahaja bermurah hati untuk menyumbang namun menghulurkan bantuan dengan cara kreatif menerusi kemahiran mereka sendiri.

"Mereka bukan sahaja boleh dijadikan contoh, tapi apa yang mereka lakukan juga bertepatan dengan studio rakaman yang sedang dalam proses siap di sekolah sebagai medium untuk menonjolkan bakat murid dan dapat diwar-warkan di media sosial," katanya.