Ubah suai langsir terpakai bantu golongan asnaf beraya

Filem 'Langsir' terbitan S P Setia mengisahkan tentang inisiatif kitar semula kain terpakai terutama langsir lama.
Filem 'Langsir' terbitan S P Setia mengisahkan tentang inisiatif kitar semula kain terpakai terutama langsir lama.
A
A
A

S P Setia Berhad dengan kerjasama Kloth Cares menjalankan insiatif kebajikan iaitu projek pengumpulan kitar semula kain terpakai bagi membantu golongan kurang berkemampuan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Ketua Kumpulan dan Komunikasinya, Adelene Wong, menerusi usaha pengumpulan tersebut, kain berkenaan seperti langsir lama akan diubah suai dan dijahit semula sebelum diberikan mereka yang asnaf.

“Projek ini pada masa yang sama merupakan satu langkah bagi mengurangkan pembaziran membabitkan fabrik terpakai untuk mengurangkan impak alam sekitar, terutamanya semasa musim perayaan yang diraikan secara meluas di Malaysia.

“Kita juga turut menerbitkan satu filem pendek bersempena kempen terhadap inisiatif berkenaan bertajuk ‘Langsir’ yang memaparkan kepada penonton untuk melakukan kebaikan melalui kitar semula dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Adeline menambah, S P Setia turut mengadakan pertandingan swafoto pengumpulan kitar semula kain terpakai berkenaan yang mana individu tersebut perlu menangkap gambar sendiri sambil menyumbang di salah satu lokasi kotak pengumpulan.

“Pemenang bertuah akan menerima beg kecil kain kitar semula hasil sulaman daripada komuniti tukang jahit,” kata beliau.

Mereka yang ingin menyumbangkan langsir lama atau barangan kain yang tidak digunakan seperti pakaian, mainan dan beg boleh meletakkannya di salah satu kotak pengumpulan kitar semula kain di galeri jualan S P Setia.