Aina Abdul mohon maaf

Penyanyi, Aina Abdul
Penyanyi, Aina Abdul
A
A
A

EKORAN didakwa memberi gambaran buruk kepada pesakit skizophrenia (penyakit mental yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan satu sel kimia dalam otak (dopamine)), menerusi muzik video lagu Sumpah, penyanyi Aina Abdul telah tampil memohon maaf.

Menurut Aina yang juga artis realiti daripada program Mentor, banyak pihak telah menyalah tafsir muzik video tersebut.

"Terlebih dahulu, dari pihak Aina Abdul, team management dan produksi MV the Malaya TV ingin memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

"Kami dengan rendah diri ingin memohon maaf dan ampun jika penceritaan muzik video Sumpah memberi impak buruk kepada yang melihatnya dan jika penggunaan maksud Skizophrenia adalah salah dalam MV (muzik video) ini.

"Diharapkan pada bulan yang mulia ini anda semua dapat memaafkan kami dan berharap kita semua dirahmati oleh Yang Maha Esa," jelasnya dalam satu kenyataan menerusi akaun Instagram miliknya.

Tambah Aina, muzik video ini tidak merujuk kepada mana-mana individu sama ada yang masih hidup atau telah mati.

Malah pihaknya telah mengkaji lebih dalam mengenai penyakit mental itu.

"Kami di sini bukan mempertahankan tetapi memberi penjelasan mengenai apa maksud sebenar MV ini dan kami tidak berniat memburukkan pesakit.

Artikel Berkaitan:

"Dalam MV ini tiada sekali bermaksud kepada seseorang yang masih hidup atau dah mati tetapi sebuah penceritaan dari The Malaya TV duduk sama berbincang dan bertanya kepada rakan perubatan kami Dr. Kamarul untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini.

"Kami juga mengkaji lebih mendalam mengenai penyakit mental ini, secara jujur ini pertama kali dengar mengenai penyakit ini dan menyebabkan kami serius mengkaji lebih dalam dengan search beberapa portal perubatan," ujarnya.

Aina berkata, lagu Sumpah menceritakan penyesalan seseorang yang terpaksa meninggalkan kekasih kerana penyakit terbabit.

"Matlamat saya adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang rawatan awal kepada pesakit Skizophrenia," katanya.

Muzik video yang dimuat naik pada 26 Mac 2019 di laman YouTube itu sebelum ini mendapat kecaman daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).