Tiada pesakit tibi warga asing lari dari hospital

Mesej yang tular di media sosial mengatakan seorang pesakit TB lelaki warga Bangladesh melarikan diri ketika mendapatkan rawatan di HRPB.
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Perak menafikan dakwaan seorang pesakit tuberkulosis atau tibi warga Bangladesh melarikan diri ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, semakan yang dibuat jabatan itu, tidak sebarang rekod ditemui berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan meminta semua hospital dan pusat perubatan swasta memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Perak atau mana-mana pejabat kesihatan daerah terdekat jika terdapat kes tibi.

"Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, semua kes yang dikesan menghidap penyakit berjangkit diwartakan termasuk tibi perlu dimaklumkan kepada pejabat kesihatan terdekat.

"Di bawah akta sama, seseorang yang dijangkiti tibi perlu mendapatkan rawatan lengkap dan menjalani pengasingan. Sekiranya ingkar, laporan polis akan dibuat dan tindakan undang-undang boleh diambil," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama persatuan-persatuan penternak ayam di pejabatnya, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab mesej tular mengatakan seorang warga Bangladesh yang dikesan dijangkiti penyakit tibi telah melarikan diri daripada HRPB ketika menerima rawatan.

Sementara itu, menurut Sivanesan, pesakit tibi warga asing dikecualikan caj rawatan kerana termasuk di dalam Akta Fi.

Katanya, mana-mana warga asing atau warga tempatan yang mempunyai simptom seperti batuk kronik selama dua minggu, demam malam, susut berat badan, kurang selera makan dan batuk berdarah perlu segera ke hospital berhampiran untuk menjalani rawatan.

Dalam pada itu, dari segi statistik penyakit tibi di Perak, pada tahun 2018 sebanyak 1,546 kes didaftarkan manakala dari 1 Januari sehingga 23 Mei 2019 bilangan kes tibi yang didaftarkan adalah seramai 635 kes.