Pesakit tibi tulang ikhtiar rawatan tradisional

Kisah Mohd Ikman Hisham yang disiarkan Sinar Harian awal Mei lalu.
Kisah Mohd Ikman Hisham yang disiarkan Sinar Harian awal Mei lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pesakit tibi tulang di Taman Krai, Kuala Krai memilih rawatan tradisional sebagai usaha keduanya bagi menyembuhkan penyakit yang ditanggungnya lebih setahun lalu.

Noor Suhailam Mohad, 34, bagaimanapun berkata, suaminya, Mohd Ikman Hisham Mat Nor, 40, tetap bertemu pakar perubatan jika ada rawatan susulan.

Menurutnya, sehingga kini suaminya masih bekerja sebagai tukang rumah walaupun sukar bergerak aktif kerana sakit pada bahagian pinggang dan belakang.

"Dia tetap keluar mencari rezeki kerana anak-anak masih kecil manakala saya pula tidak bekerja.

"Saya juga menjaga ibu mertua, Zawiah Mat Junoh, 64, yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan asma," katanya pada Isnin.

Noor Suhailam memberitahu, pakar perubatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai juga ada memberi nasihat selepas suaminya memaklumkan mahu meneruskan rawatan melalui kaedah tradisional.

Selain itu katanya, ada individu yang membantu meringankan beban mereka dengan menghulurkan bantuan selepas media melaporkan kisah suaminya yang menghidap tibi tulang.

Mohd Ikman Hisham dikesan menghidap penyakit itu November tahun lalu selepas menderita sakit pinggang berpanjang.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Mohd Ikman Hisham menanti pembedahan sebagai usaha mengelakkan penyakitnya bertambah teruk.

Bapa kepada empat anak berusia dua hingga 15 tahun dimasukkan ke wad selama dua minggu November tahun lalu akibat sakit berpanjangan dan dimaklumkan terdapat nanah berkumpul di bahagian tulang belakang yang sudah membengkok.