LPP lihat potensi PPK seluruh negara

Mazlan (duduk, tengah) bersama ahli dan pentadbiran PPK Sungai Siput pada lawatan kerjanya ke pertubuhan itu hari ini.
Mazlan (duduk, tengah) bersama ahli dan pentadbiran PPK Sungai Siput pada lawatan kerjanya ke pertubuhan itu hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mewujudkan sistem pemantauan dalam usaha menambah baik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) agar mempunyai teras perniagaan tersendiri.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan melihat potensi setiap PPK mengikut zon agar projek yang dijalankan boleh memberi impak besar kepada pertanian.

“Kita akan melihat zon kawasan projek seperti Bagan Datuk dan Hutan Melintang yang kaya dengan kelapa.

"Difahamkan kawasan itu mempunyai kawasan seluas 200 ekar dan apabila capai 500 ekar ia boleh mewujudkan produk hiliran sekali gus mengatasi masalah bekalan.

“Begitu juga dengan Perlis yang terkenal dengan harumanis. Harganya mencecah RM100 bagi 3kg menyebabkan kekangan kepada pembeli namun, apabila dijadikan industri hiliran seperti kerepek atau jus, ia boleh hidupkan projek itu sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada lawatan kerjanya di PPK Sungai Siput di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut melihat potensi tanaman sampingan bagi membantu kelangsungan pekebun kecil di atas ketidaktentuan harga komoditi getah dan kelapa sawit.

“Kita lihat potensi dengan mencari tanaman sampingan agar dapat bantu pekebun kecil yang terjejas kerana harga komoditi.

“Perbincangan strategik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bulan lepas melihat potensi pekebun kelapa sawit serta ternakan ruminan. Pergerakan baru ini dibuat bagi memastikan sektor pertanian semakin berkembang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mazlan ketika berucap berkata, projek di bawah PPK menanggung kerugian atas sebab kelemahan dan kecuaian sebelum ini.

“Oleh itu, kementerian melaksanakan reformasi sebab kita tidak mahu ahli peladang mempersoalkannya. Sehingga kini, projek tertentu diaudit.

“Kita tidak menolak kemungkinan projek berskala besar berdepan dengan audit penelitian, ada unsur salah guna kuasa kita tidak teragak-agak mengheret mereka yang terlibat,” katanya.