[VIDEO] Gajah serang sekolah Orang Asli di Sungai Siput

Bahagian dapur kelas pra sekolah dalam keadaan tidak terurus akibat serangan gajah pada Khamis. - Foto Facebook Rassidee
Bahagian dapur kelas pra sekolah dalam keadaan tidak terurus akibat serangan gajah pada Khamis. - Foto Facebook Rassidee
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Bangunan dan beberapa kelengkapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Perwor dekat Lasah di sini mengalami kerosakan teruk selepas diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian Khamis lalu.

Serangan sekitar jam 2 pagi itu mengakibatkan kerosakan di bahagian tingkap kelas pra sekolah dengan jeriji besi bengkok dan cermin pecah.

Kelengkapan dapur milik kelas itu turut musnah selain pasu pecah serta tanaman pokok kelapa dan pisang dirosakkan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, maklumat awal mengatakan terdapat enam ekor gajah memasuki kawasan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, serangan itu hanya melihatkan kemusnahan harta benda tanpa sebarang kecederaan orang awam.

Tahi gajah mengotori kawasan luar kelas.
Tahi gajah mengotori kawasan luar kelas.

"Beberapa anggota daripada Unit Tindakan Gajah (UTG) telah ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat bagi tujuan kawalan dan pemantauan.

"Kawanan gajah itu telah ditembak halau masuk ke kawasan hutan semula. Kemungkinan haiwan tersebut keluar dari habitatnya untuk mencari sumber makanan," katanya.

Kejadian itu dikongsi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Mohd Rassidee Mohd Rasid menerusi Facebooknya pada Jumaat.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Mohd Rassidee berkata, kejadian serangan gajah itu adalah kali kedua dilaporkan tahun ini.

Manurutnya, kejadian pertama pada April lepas mengakibatkan kerosakan di bahagian pagar belakang sekolah dan dinding kelas pemulihan.

Pagar belakang yang menjadi laluan masuk kawanan gajah liar ke kawasan SK Pos Perwor, Sungai Siput pada Khamis.
Pagar belakang yang menjadi laluan masuk kawanan gajah liar ke kawasan SK Pos Perwor, Sungai Siput pada Khamis.

"Kali ini amukan gajah lebih dahsyat. Banyak kelengkapan yang rosak dan memerlukan kos agak tinggi untuk baik pulih.

"Kami syaki kumpulan haiwan ini masuk melalui pagar belakang yang masih dalam proses baik pulih," katanya.

Beliau berkata, kejadian tidak mengganggu proses pembelajaran 23 murid pra sekolah kalangan orang asli Temiar di kawasan itu kerana telah ditempatkan sementara di kelas lain.

Menurutnya, ketika ini, ibu bapa dan murid diganggu rasa takut dan bimbang sekiranya berlaku lagi ancaman dan serangan gajah.

"PPD bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mengambil tindakan sewajarnya. Laporan kerosakan juga telah dikemukanan agar tindakan segera dapat diambil," katanya.