Majoriti FDI dalam suku pertama merupakan pelaburan berkualiti

Tony Pua - Foto Bernama
Tony Pua - Foto Bernama
A
A
A

SUKU pertama 2019 menyaksikan pelaburan langsung asing (FDI) yang tertinggi direkodkan, terdiri daripada pelaburan-pelaburan berkualiti, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua.

Pelaburan ini akan membantu meningkatkan taraf kemahiran tempatan dan teknologi melalui perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang, mempunyai nilai tambah yang tinggi dan yang penting sekali, memastikan bahawa Malaysia mampu mencapai matlamat utamanya iaitu bebas dari perangkap jurang pendapatan.

Tarikan pelabur-pelabur antarabangsa ke Malaysia telah bertambah sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan sejak setahun lepas, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua berkata demikian ketika mengulas mengenai cemuhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengenai statistik FDI disiarkan melalui Facebook Pua.

“Angka FDI yang diluluskan pada 2018, merupakan pencapaian terbaik setakat ini, yang akan membantu meningkatkan FDI direalisasi pada tahun ini dan tahun depan.

"Oleh itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng adalah benar untuk menyatakan bahawa negara telah mencapai FDI direalisasi yang tertinggi dalam rekod pada suku suku pertama 2019, naik sebanyak 94.8 peratus kepada RM21.7 bilion daripada RM11.2 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama pada 2018,” kata Pua.

Katanya, pembelian saham-saham IHH Healthcare Bhd di Bursa Malaysia oleh Mitsui & Co Ltd daripada Khazanah Nasional Bhd adalah satu langkah signifikan kerana ia menunjukkan keyakinan dan kepercayaan yang diletakkan oleh pelabur-pelabur asing terhadap syarikat-syarikat dan ekonomi Malaysia.

Beliau juga memetik satu peristiwa pada 2017 semasa Najib berkuasa, di mana Petroliam Nasional Bhd menjual 50 peratus kepentingannya dalam projek penapisan dan pembangunan bersepadu petrokimia (RAPID) di Pengerang kepada Saudi Aramco dari Arab Saudi pada harga US$7 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Malah, pentafsiran FDI yang digunakan sekarang serta sebelum ini, tidak pernah berubah dan ia adalah pentafsiran antarabangsa yang diterangkan dalam Manual Kedudukan Pelaburan Antarabangsa dan Imbangan Pembayaran Tabung Kewangan Antarabangsa,” katanya. - Bernama