4,511 terima manfaat RM30 juta bagi program KIDA

Mukhriz (kiri) meninjau barangan keperluan asas di sebuah pasaraya di Batu 5 Sik yang menggunakan sistem kad KIDA.
Mukhriz (kiri) meninjau barangan keperluan asas di sebuah pasaraya di Batu 5 Sik yang menggunakan sistem kad KIDA.
A
A
A

SIK- Peruntukan RM30 juta Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) 2019 akan memberikan manfaat kepada seramai 4,511 orang ibu daripada keluarga berpendapatan rendah seluruh Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, melalui program itu, penerima diberikan kad KIDA yang membolehkan mereka membeli barangan dan makanan keperluan asas di 100 buah kedai runcit terpilih di seluruh Kedah.

Menurutnya, program itu hasil cetusan idea bersama kerajaan Kedah bersama Kerajaan Persekutuan melalui pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ( NCIA).

"Kita mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM30 juta untuk Kedah. Ia bertujuan diagihkan melalui sistem kad di mana setiap seorang daripada penerima mempunyai nilai RM250 sebulan.

"Sepanjang setahun ini setiap isi rumah akan mendapat RM3,000 nilai dalam kad KIDA," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran KIDA di Dewan Al Hana, SIK hari ini.

Mukhriz berkata, peserta KIDA terdiri daripada senarai e-Kasih dan jumlah penerima dijangka meningkat.

Beliau berkata, setiap penerima yang layak diambil kira beberapa kriteria tertentu antaranya pendapatan isi rumah.

"Golongan termiskin ini adalah seramai 4,511 dan saya kira angka ini mungkin meningkat kerana kita masih menerima nama-nama baru yang berdaftar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, di bawah program KIDA, keluarga penerima juga bakal memperolehi bantuan kewangan bernilai RM500 bagi mendapatkan rawatan kesihatan di 78 klinik swasta berdaftar dengan kerajaan negeri.

Di samping itu katanya, Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dan Kedah akan mencari kaedah baharu seperti memperkenalkan program-program pembangunan modal insan dan keusahawanan iaitu EmpowerNCER@Kedah serta Entrepreneur@Kedah.

"Program-program yang melatih anak muda menjadi usahawan akan kita lancarkan dalam masa terdekat.

"Tujuannya untuk melahirkan usahawan dalam kalangan mereka (keluarga penerima KIDA) dan keluarkan keluarga-keluarga ini daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, di sekitar SIK setakat ini mempunyai 11 kedai runcit dan lima klinik berdaftar bagi program KIDA.

"Jika ada lagi klinik-klinik yang mahu berdaftar dengan KIDA boleh terus berhubung dengan pihak KIDA," katanya.

Jelas Mukhriz, kerajaan negeri dalam masa sama mahu melihat setiap penerima dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Kita perlu ingat tujuannya (KIDA) untuk meringankan bebanan kumpulan yang sangat memerlukan.

"Kita juga tidak mahu mereka ini kekal dalam kriteria itu. Sebaik-baiknya kita mahu dia (penerima) tingkatkan pendapatan. Jadi dia tak perlu lagi terima bantuan seperti ini," katanya.

Beliau berkata, bukan sesuatu membanggakan jika angka penerima KIDA meningkat di Kedah kerana ia bererti kerajaan negeri gagal mencapai hasrat membasmi kemiskinan.