MPSP bakal dinaik taraf bandaraya

Jagdeep (tengah) bersam Rozali (empat, kiri) ketika melakukan simbolik mengenai pengumuman naik taraf MPSP kepada MBSP.
Jagdeep (tengah) bersam Rozali (empat, kiri) ketika melakukan simbolik mengenai pengumuman naik taraf MPSP kepada MBSP.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum ini Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin telah mengumumkan kelulusan kabinet mengenai permohonan untuk menaik taraf MPSP kepada MBSP.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri sehingga kini tidak mendapat sebarang surat rasmi mengenai kelulusan itu dan dijangka akan menerima dalam masa terdekat.

"Selepas mendapat surat pengesahan daripada KPKT, kerajaan negeri akan membuat perbincangan bagi memilih siapa yang akan dilantik menjadi Datuk Bandar dan selepas semua urusan dokumentasi siap dan mendapat watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.

"Dijangka ia akan mengambil masa tiga minggu dari sekarang sebelum pengisytiharan akan dibuat dan kita jangka ia akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti," katanya pada sidang media di Menara MPSP di sini pagi tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSP,Datuk Sr Rozali Mohamud dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Ar Yew Tung Seang serta barisan Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPSP.

Jagdeep berkata, di seluruh negara terdapat 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 13 daripadanya telah mendapat taraf bandar raya.

Tambahnya, MPSP bakal menjadi PBT yang ke-14 dinaik taraf sebagai bandar raya dan ia sekali gus akan menjadikan Pulau Pinang negeri pertama yang kesemua PBT bertaraf bandar raya.

Artikel Berkaitan:

Jagdeep berkata, MBSP akan menggalas tanggungjawab yang lebih besar bagi mengekalkan pencapaian sedia ada selepas PBT itu dinaik taraf sebagai bandar raya.

“Saya ingin tekankan bahawa, rakyat akan mempunyai jangkaan dan ekspektasi yang lebih tinggi terhadap MBSP.

“Proses penyampaian perkhidmatan adalah aspek yang perlu dititikberatkan terutama sekali sistem penyampaian,” katanya.

Sementara itu, Rozali dalam sidang media sama melahirkan rasa syukur apabila penantian sekian lama penduduk Seberang Perai untuk mendapat taraf bandar raya akhirnya tercapai.

"Pengumuman naik taraf status MPSP kepada bandar raya merupakan berita gembira dan akan menjadi pemangkin untuk MPSP meningkatkan kualiti dan komitmen terhadap masyarakat di Seberang Perai.

"Kita akan mengatur langkah untuk meningkatkan prestasi MPSP ke arah matlamat menjadikan Seberang Perai sebagai bandar inklusif, hijau, kompetitif dan bandar yang dipacu teknologi," katanya.