Pangsapuri Desa Aman Puri lengang tidak seperti biasa

Sekumpulan warga Afrika menjadikan kawasan bawah blok Pangsapuri Desa Aman Puri sebagai tempat melepak pada waktu petang.
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran anggota polis di kawasan Pangsapuri Desa Aman Puri di Kepong malam kelmarin menyebabkan warga Afrika meninggalkan pangsapuri terbabit.

Seorang pengawal keselamatan memaklumkan kepada wartawan Sinar Harian, ia susulan kehadiran ramai anggota polis beruniform di Desa Aman Puri tengah hari kelmarin sehingga mengundang ketakutan mereka lalu melarikan diri.

Mahu dikenali sebagai Abu, 40-an pengawal keselamatan itu menyedari banyak kenderaan Grab memasuki kawasan pangsapuri bermula jam 7 malam hingga 10 malam.

“Banyak kereta Grab masuk mengambil warga Afrika, ada lebih 10 jumlahnya. Setiap kereta penuh dengan warga Afrika. Saya tak pasti mereka ke mana.

“Jadi pada hari ini, jumlahnya berkurangan dan banyak kedai yang biasa mereka lepak mulai lengang,” katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di kawasan Aman Puri di sini semalam.

Kehadiran begitu ramai warga Afrika sekitar Desa Aman Puri yang dikesan sejak empat tahun kebelakangan ini semakin membimbangkan penduduk tempatan.
Kehadiran begitu ramai warga Afrika sekitar Desa Aman Puri yang dikesan sejak empat tahun kebelakangan ini semakin membimbangkan penduduk tempatan.

Katanya, pada hari kebiasaan kawasan kedai bawah pangsapuri menjadi tempat mereka berkumpul dan berpesta.

“Tapi sewaktu kami buat rondaan tadi (semalam), kedai banyak tutup tidak beroperasi. Cuma ada beberapa warga Afrika berkumpul di kawasan parkir sambil berbual,” katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lee, 50, berkata, masalah warga asing khususnya Afrika membanjiri Aman Puri dan Wangsa Permai membelenggu penduduk sejak empat tahun.

“Kami warga tempatan khususnya yang berkeluarga bimbang juga sebab sebelum ini ada beberapa kes wanita diganggu, insiden pergaduhan dan juga mabuk.

“Kedai dahulunya menjadi tempat kami makan malam pun sudah dipenuhi mereka. Kami terpaksa bungkus daripada makan di kedai kerana bimbangkan keselamatan,” katanya.

Kedai makan yang menjadi tempat warga asing Afrika melepak dari petang hingga ke malam.
Kedai makan yang menjadi tempat warga asing Afrika melepak dari petang hingga ke malam.

Menurutnya, walaupun kurang selesa namun kebanjiran warga asing itu sukar dibendung dan berharap pemantauan berterusan dilakukan.

“Dahulu keadaannya memang teruk kerana banyak kes tapi selepas ada pondok polis di Wangsa Permai masalah gangguan warga Afrika ini sedikit berkurangan sedikit.

“Kita tak boleh buat apa-apa, asalkan mereka duduk aman tak mengganggu kita, kita penduduk tempatan boleh terima. Pemantauan keselamatan perlu berterusan,” katanya.

Kelmarin Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat pemeriksaan mengejut di kawasan di Desa Aman Puri.

Difahamkan pemeriksaan berkenaan ekoran isu kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia