'Iran tidak mahu perang'

Tindakan AS menghantar kapal perang USS Abraham Lincoln ke perairan Asia Barat kononnya untuk menghantar mesej jelas kepada Iran
Tindakan AS menghantar kapal perang USS Abraham Lincoln ke perairan Asia Barat kononnya untuk menghantar mesej jelas kepada Iran
A
A
A

TEHRAN - Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif yakin peperangan tidak akan tercetus di rantau Asia Barat selepas kebimbangan tentang kemungkinan konflik meletus sejak Rumah Putih mengerahkan kapal perang USS Abraham Lincoln dan pesawat pengebom ke rantau tersebut pada awal bulan lalu.

Langkah itu kononnya untuk menentang ancaman serius Tehran selepas ketegangan antara kedua-dua negara semakin meningkat. “Tidak akan berlaku peperangan kerana kami sendiri tidak mahu konflik seperti itu. Tiada pihak boleh mengancam kami.

Tetapi, AS perlu sedar tentang bahaya apabila mereka memasuki rantau ini,” ujarnya kepada agensi berita IRNA pada akhir lawatan di Beijing, China semalam.

Zarif turut menegaskan Presiden Donald Trump sebenarnya tidak mahu perang, namun hasutan orang sekeliling beliau telah menyebabkannya mengambil langkah meningkatkan kekuatan pertahanan atas alasan untuk menampakkan AS lebih kuat daripada Iran.

Beliau memetik laporan The New York Times kelmarin yang mendakwa Trump mengarahkan pentadbiran beliau supaya mengelakkan sebarang konfrontasi ketenteraan dengan Tehran.

Jelasnya, jutawan hartanah terbabit memberitahu pembantunya bahawa beliau tidak mahu kempen tekanan AS ke atas Iran akan mencetuskan konflik terbuka.

“Trump menegaskan beliau tidak mahu sebarang peperangan dengan Iran,” lapor akhbar terbabit memetik kenyataan lima pegawai kanan Rumah Putih.

Rabu lalu, Pemimpin Agung, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei turut menolak kemungkinan akan tercetus perang antara AS dan Iran.

Artikel Berkaitan:

Penempatan tentera

Sehari sebelum Zarif mengeluarkan kenyataan, akhbar Asharq Al-Awsat melaporkan Riyadh dan beberapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah bersetuju dengan permintaan AS untuk menempatkan semula pasukan tentera mereka di perairan dan wilayah di rantau terbabit.

Menurut laporan itu, kelulusan itu dibuat berdasarkan asas perjanjian bilateral antara Washington dan negara Teluk. “Saudi dan negara anggota GCC tidak mahu memulakan perang dengan Iran, namun mereka mahu menghantar mesej tegas kepada Tehran bahawa ia tidak boleh melangkaui garisan merah dengan melancarkan provokasi berterusan.

“Tidak ada pihak yang mahu terlibat dalam konfrontasi ketenteraan kerana tiada yang akan dapat manfaat daripada tindakan seumpama itu,” lapor akhbar yang berpusat di London itu.

Difahamkan, penempatan semula tentera AS di negara Teluk adalah sebahagian daripada usaha bersama untuk menghalang tindakan provokasi Iran selain mewujudkan kerjasama lebih baik dalam bidang ketenteraan.

“Langkah seperti itu akan melindungi bekalan sumber tenaga dan mengelakkan Tehran daripada mengganggu lalu lintas maritim di rantau terbabit,” menurut laporan Asharq Al-Awsat lagi.

Susulan ketegangan yang semakin meningkat, penggubal undang-undang Iran, Hashmatullah Falahat Pishe menggesa dialog AS-Iran diadakan di Iraq atau Qatar.

Ancaman berpotensi

Situasi yang semakin tegang turut menyebabkan beberapa negara Arab mengambil langkah berjaga-jaga. Sebagai contoh, Bahrain telah memberi amaran kepada rakyat mereka supaya tidak melakukan perjalanan ke Iran dan Iraq selain meminta mereka pulang segera jika berada di kedua-dua negara berkenaan atas faktor keselamatan.

Kementerian Luar di Manama menegaskan rakyat mereka perlu mematuhi arahan itu memandangkan keadaan serantau tidak stabil dan berbahaya selain ancaman yang berpotensi.

Selain itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) turut memberi amaran kepada syarikat penerbangan AS supaya berwaspada apabila berada di ruang udara Teluk berikutan peningkatan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di rantau terbabit.

“Konflik tersebut menunjukkan peningkatan risiko tidak disengajakan terhadap penerbangan awam AS,” jelasnya.

Ia juga memberi amaran pesawat mungkin akan berdepan gangguan komunikasi dan GPS jika terbang di ruang udara terbabit.

Awal minggu lalu, AS memanggil pulang beberapa kakitangan diplomatik dari kedutaan mereka di Baghdad susulan insiden serangan ke atas empat kapal tangki minyak di luar pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE). - Agensi