Perak Century Ride kembali lagi 30 Jun ini

Edisi Emas PCR akan menjelajah ke lebih 10 lokasi sejauh 160 km di sekitar Perak dan ramai terlibat dalam penyertaan dari luar dan dalam negara pada edisi sebelum ini.
A
A

IPOH - Perak Century Ride (PCR) bakal berlangsung untuk edisi kelima yang akan diadakan pada 30 Jun ini.

Pengerusi Program PCR 2019, Sharudin Not berkata, Edisi Emas PCR 2019 kali ini menyasarkan 1,500 peserta dari dalam dan luar negara.

Katanya, penganjuran kali ini mengetengahkan tema 'menggalakkan budaya sukan dalam aktiviti berbasikal, rekreasi dan pelancongan' yang akan melalui lebih 10 lokasi bermula di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng.

"Sejak pendaftarannya dibuka pada 1 Februari lalu, sambutan yang diterima untuk kayuhan sejauh 160 kilometer itu amat menggalakkan.

"Pendaftaran masih lagi dibuka sehingga 30 Mei ini. Keterangan lanjut dan maklumat terkini mengenai PCR 2019 boleh diperoleh di Facebook rasmi penganjur, Perak Century Ride 2019," katanya kepada media.

Sharudin berkata, kayuhan yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Berbasikal Levelo Perak mendapat kerjasama dan sokongan daripada kerajaan Perak, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Perak, Fama dan Persatuan Berbasikal Perak.

Katanya, laluan yang bermula dari RTC Perak Gopeng, para peserta akan melalui Batu Gajah (Kellie Castle), Highway Bemban, Expressway Ipoh Lumut, Bota Kanan, Lambor Kanan, Kampung Gajah, Sungai Manik, Chenderong Balai, Tanjung Tualang, Malim Nawar, Kuala Dipang, Gopeng dan berakhir di RTC Perak, Gopeng.

"Laluan kali ini agak landai ini akan memberi peluang kepada peserta menikmati pemandangan menarik di sepanjang laluan kayuhan.

"Ia sekali gus mempromosikan negeri Perak sebagai destinasi sukan berbasikal dan pelancongan di mata dunia," katanya.

Beliau berkata, penganjur akan memastikan program ini berlangsung dengan jayanya seperti tahun-tahun sebelum yang mendapat pujian banyak pihak.

“Bukan mudah untuk mengekalkan penganjuran seperti tahun sebelum ini tetapi kami akan sahut cabaran ini untuk mengekalkan pengiktirafan yang diberikan menerusi kawalan oleh polis trafik dan marshal yang berpengalaman bagi memastikan peserta dapat berkayuh dengan lancar dan selamat,” katanya.