PTPTN ambil kira pandangan masyarakat: Maszlee

x-default
x-default
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Kementerian Pendidikan memberikan komitmen bahawa setiap perkara yang akan dilaksanakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus mengambil kira pandangan masyarakat dan memberikan impak positif.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, cadangan yang dikemukakan oleh PTPTN sebelum ini merupakan pandangan yang diambil melalui proses libat urus bersama pelbagai pihak dan tidak semestinya akan dilaksanakan oleh PTPTN.

"Sekarang ini PTPTN sedang lakukan konsultasi awam untuk dapatkan maklum balas masyarakat mengenai isu yang timbul dan majoriti rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan semalam (kelmarin), saya minta PTPTN agar buat komunikasi yang baik bersama media.

"Bagi orang muda di luar sana, Insya ALLAH kita akan cuba membantu sebaik mungkin dalam usaha kita memberikan yang terbaik kepada golongan ini dan ini merupakan komitmen saya sebagai menteri yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Bubur Lambuk Econsave di Pasar Raya Econsave Simpang Renggam, di sini.

Turut hadir ialah Pengurus Operasi Pasar Raya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam.

Menurutnya, segala keputusan muktamad berkenaan isu PTPTN ini termasuk keputusan menyenaraihitamkan peminjam yang gagal membayar hutang dan pemberian diskaun terhadap peminjam akan diumumkan pada bulan Julai ini selepas mengambil kira konsultasi awam yang dijalankan ini.

Baru-baru ini, media melaporkan PTPTN mungkin memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika itu yang dimahukan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

PTPTN juga dikatakan sedang meneliti beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan, termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, dilapor berkata, sekatan perjalanan adalah kaedah paling berkesan dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.