Isu ali baba: Kerajaan diminta ambil kira pandangan pemegang taruh

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu mengenai budaya perniagaan ali baba yang menjadi 'barah' kepada ekonomi negara. (Gambar kecil: Norsyahrin)
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu mengenai budaya perniagaan ali baba yang menjadi 'barah' kepada ekonomi negara. (Gambar kecil: Norsyahrin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam merangka dasar anti ali baba bagi mengenal pasti masalah sebenar dalam sistem, sekali gus memerangi rasuah.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, cadangan hampir sama pernah dibuat sebelum ini iaitu Akta Anti Sabotaj Ekonomi Negara yang khusus untuk memerangi budaya ali baba dalam perolehan kerajaan, namun sehingga kini belum dilaksanakan.

“Ini bukan perkara baharu dan DPMM sendiri pernah beri pandangan untuk pelaksanaan Akta Anti Sabotaj Ekonomi Negara yang kita lihat sangat penting untuk tangani masalah ini daripada terus membarah.

“Apabila merangka dasar, perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak supaya tahu situasi sebenar. Sekarang ada satu trend baharu dengan penglibatan orang asing. Sebelum ini orang melihat ali baba hanya melibatkan kontrak besar, tetapi apa yang terjadi di bawah?

“Kalau kita pergi ke pasar borong misalnya, ada lot Melayu tetapi yang sewanya orang asing. Jadi, skopnya jangan pandang projek mega sahaja tapi di bawah. Sekarang sudah sampai tahap penjaja kecil pun terlibat yang mana ia tidak sihat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan merangka dasar anti ali baba bagi menangani kesan negatif budaya itu yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu turut merebak dalam perniagaan kecil apabila lesen perniagaan dialibabakan kepada pendatang asing manakala kediaman untuk golongan B40 disewakan semula untuk meraih keuntungan atas angin.

Norsyahrin berkata, kerajaan perlu memastikan klasifikasi syarikat bumiputera itu merangkumi pengurusan dan majoriti pekerjanya ialah orang Melayu.

“Ini bermaksud, kita kena pastikan pekerja itu bumiputera. Kadang-kadang nama sahaja bumiputera tapi ada orang di belakang tabir.

“Dasar sahaja tidak mencukupi, pemantauan juga perlu. Kalau ada penguatkuasaan, mesti perkara ini boleh dibanteras kerana ia berkait rapat dengan rasuah,” katanya.