Tiada info rumah sewa Siti Kharina

Polis tidak mengetahui mengenai kewujudan rumah sewa yang didiami Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak mengetahui mengenai kewujudan rumah sewa yang didiami Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin kerana laporan awal yang diterima mengatakan mangsa tinggal di kuarters kakitangan bersama rakan-rakannya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, maklumat itu hanya diperoleh polis secara kebetulan apabila menerima laporan berkaitan penemuan satu mayat di sebuah unit Kondominium Third Avenue di Cyberjaya kelmarin.

Berpandukan laporan itu, katanya, polis melakukan siasatan dan mengesahkan mayat yang ditemui ialah Siti Kharina dan kondominium berkenaan adalah kediaman yang disewa jururawat berkenaan.

“Ahli keluarga dan rakan sekerja Siti Kharina juga tidak mengetahui tentang kondominium yang disewa jururawat tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat Siti Kharina daripada pihak Hospital Serdang.

Sementara itu, temu bual Sinar Harian dengan pengawal keselamatan yang bertugas di Kondominium Third Avenue, Zulkifli Abdullah, 47, memberitahu dia mengenali Siti Kharina sama seperti dia mengenali penghuni lain di kondominium berkenaan.

Menurutnya, hampir setiap hari dia akan membuka pagar untuk laluan jururawat itu keluar bekerja atau urusan lain, malah wanita itu juga selalu menegurnya.

“Memang hari-hari dia (Siti Kharina) keluar masuk kawasan ini. Setahu saya dia tinggal seorang diri sebab suami dan anaknya ada di Negeri Sembilan,” katanya.

Namun, katanya, kelibat wanita itu tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu sehinggalah dia ditemukan dalam keadaan menyedihkan kelmarin.

Mengulas mengenai wanita berusia 40 tahun itu, Zulkifli berkata, dia pernah melihat wanita itu masuk ke kawasan kondominium berkenaan dengan seorang lelaki warga asing, bagaimanapun dia tidak pasti sama ada mereka tinggal bersama atau sebaliknya.

Berdasarkan carian di internet, kadar sewa seunit Kondominium Third Avenue di Cyberjaya sekitar RM1,000 hingga RM1,600 tanpa kelengkapan perabot, manakala unit kondominium dilengkapi perabot disewa dengan harga RM2,500 sebulan.

Semalam, seorang lelaki warga Nigeria berusia 36 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Polis juga menahan reman dua rakan suspek iaitu seorang wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan yang membawa kepada penahanan suspek.

Mayat Siti Khairina ditemui polis dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar dari salah satu pintu rumah itu.

Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan ditemui mati dibunuh di sebuah unit kondominium di Cyberjaya kelmarin.

ARTIKEL BERKAITAN:Kematian Siti Kharina akibat luka hirisan di leher

ARTIKEL BERKAITAN:Suspek bunuh jururawat direman seminggu

ARTIKEL BERKAITAN:Jenazah Siti Kharina selamat dikebumikan selepas Isyak

ARTIKEL BERKAITAN:Penemuan mayat di Cyberjaya ada kaitan kehilangan jururawat

ARTIKEL BERKAITAN:Polis temui petunjuk baharu kes kehilangan ketua jururawat

ARTIKEL BERKAITAN:Hospital Serdang sahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Kharina masih belum pulang setelah lima hari hilang